Powered by Blogger.

[Warkah] Mutarabbiku, Apa yang Kau Baca Hari Ini?

Assalamualaikum... ^_^

Segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam semoga tercurahkan kepada murabbi teragung, Rasulullah SAW yang dimuliakan, para ahlu bayt, para Sahabat RA, tabi'in, tabi' tabi'in dan seterusnya orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dulu, kini dan selamanya....

Akhi fillah, semoga warkah ini diterima dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya. Juga terima kasih kerana sudi membacanya walaupun dalam kesibukan tugas dan amanah masing-masing.


Akhi, Apa yang Kau Baca Hari Ini?!


Soalan ini biasa kau dengar, kan? Sudah sering kutanyakan kepadamu di dalam Halaqah atau ketika bermu'ayasyah... "Akhi, anta sedang baca buku apa sekarang ni?" 

Dan alhamdulillah, kerapkali kau jawab sedang membaca buku-buku tertentu... Malah, ada di antara buku-buku tersebut, aku sendiri tidak pernah mendengarnya, apatah lagi dibaca... Alhamdulillah.

Namun, tidak kurang juga saudara sehalaqah-mu yang lain, masih lagi kurang minat membaca dan mendalami pengetahuan di luar bidangnya... Yang sering dibaca, hanyanya terbatas pada buku-buku kuliahnya sahaja...

-----------------------------------------------------------

Akhi, Mengapa Aku Beria-ria Sangat dengan Soalan Ini?

Ini kerana ilmu itu adalah cahaya dan menghidupkan hati, sedangkan kejahilan itu adalah kegelapan dan kematian hati. Semua keburukan adalah disebabkan tiadanya cahaya bagi hati, dan semua kebaikan adalah disebabkan adanya cahaya dan kehidupan bagi hati ini.

Firman Allah SWT:

Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia, Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? (Al-An'am 6" 122)

Tidak serupa akhi! Di dalam kesuraman dunia hari ini, kita memerlukan para pembawa cahaya yang dengan cahayanya itu akan menerangi orang lain. Jangan pula, kita termasuk dalam penyumbang kepada kegelapan dengan kejahilan kita terhadap hakikat kehidupan ini! 

Oleh kerana itu, kita perlu sama-sama mencari cahaya itu!


-----------------------------------------------------------

Kenanganku di Awal Tarbiyah.

Akhi Fillah, aku jadi teringat tatkala awal-awal keterlibatanku dalam tarbiyah ini. Di waktu itu, aku sangat hauskan kefahaman tentang Islam. Dalam halaqah, Murabbi membangkitkan semangat untuk mencari pengetahuan tambahan. Tidak cukup sekadar yang diberikan Murabbi.

Dicadangkan beberapa buku yang boleh meningkatkan kefahaman kami. Kami digalakkan membaca buku-buku Sirah. Antaranya Fiqh Sirah oleh Ramadhan Al-Buti dan Manhaj Haraki oleh Munir Ghatban.

Acapkali kami berbincang bersama Murabbi atau dengan ikhwah-ikhwah lain tentang peristiwa yang berlaku dalam sirah. Masing-masing memberikan pandangan dari sudut Fiqh Dakwahnya. Ada kisah yang aku sendiri tidak pernah mendengarnya, maka membuatkan ku berazam akan membacanya nanti... 

Kami juga membaca buku-buku Al-Qaradawi seperti Halal dan Haram, dan Fiqh Awlawiyat. Tidak semua yang mampu membelinya, jadi kami buat versi fotokopi. ^_~ Dan itulah juga dibuat pada buku-buku lain. Seorang beli yang original, maka ikhwah-ikhwah lain berebut untuk fotokopi... Maklumlah, ebook pun tak banyak waktu tu...

Kami juga membaca buku-buku Tafsir. Yang terkenal adalah Tafsir Ibnu Katsir dan Fi Zilal.Walaupun agak mahal, ada ikhwah yang membelinya mengikut jilid. Ada juga ikhwah yang suka membaca Tafsir Al-Azhar oleh HAMKA.

Buku Fiqh Dakwah yang banyak mengubah aku adalah buku Abbas As-Sissi, Bagaimana Menyentuh Hati. Seorang ikhwah senior mempromosikannya dalam sebuah daurah. Muwajjih juga memberikan rekomendasi, maka kami berebut-rebut membelinya. Ada yang tak cukup duit, pinjam dulu dengan ikhwah.

Buku-buku Fathi Yakan juga banyak memberikan impak kepada kami. Contohnya buku Robohnya Dakwah di Tangan Da'i serta Bahtera Penyelamat. Tidak lupa juga buku asas seperti Apa Ertinya Aku Menganut Islam.

Kami juga membaca buku-buku tokoh seperti Yusuf Al-Qaradawi (Kenanganku Bersama IM) dan Umar Tilmisani (Mursyid Am Kedua). Kami juga banyak melayari laman infopalestina untuk mendapatkan biografi para syuhada' HAMAS dalam menentang Israel. Kami juga membaca buku-bukuUstaz Maszlee Malik yang banyak menulis tentang Palestin ketika itu. Kami baca dan bincangkan dalam halaqah. Merasai kemanisan berjihad dan mempertahankan Islam.

Aku juga sering berkunjung ke perpustakaan untuk mencari-cari buku yang bagus. Antaranya Hadis Tsulasa' oleh Imam Hassan Al-Banna. Mana bab-bab yang diminati aku fotokopi dan simpan sebagai rujukan.Di waktu itu juga terjumpa buku al-Muntalaq oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, aku segera memfotokopinya. Walaupun setelah membacanya kurang faham, tetapi sikit-sikit cuba membacanya... (buku ini kena bincang bersama Murabbi atau Asatizah)

Untuk menyucikan jiwa, kami membaca buku-buku Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Juga buku Tazkiyatun Nafs (Ringkasan Ihya' Ulumuddin) oleh Saaid Hawwa. Tidak lupa pula Tazkiyatun Nufus oleh Dr Ahmad Farid.

Di samping itu, aku juga suka membeli buku-buku Harun Yahya. Banyak manfaat yang boleh diambil seperti keruntuhan teori Evolusi, tentang Islam dan Sains, serta hakikat kehidupan. Walaupun ada sedikit kontroversi pada penulis, tiadalah menghalang manfaat yang lebih besar.


-----------------------------------------------------------

Peruntukkan Wang dan Masa.

Setiap bulan, aku dan para ikhwah akan berkunjung ke Pustaka Indonesia (sekarang Pustaka Fajar Baru) untuk mencari buku-buku baru. Setiap bulan juga kami akan peruntukkan wang bagi membeli buku-buku terbaru untuk menambahkan tsaqafah tentang Islam. Kami juga pergi ke Pustaka Furqandi Keramat, di situ lebih murah harganya dan boleh hutang kejap... ^_~

Kami jadi hauskan pembacaan, jika ada ikhwah yang membeli buku baru. Tentu ramai yang berebut untuk membacanya. Bagi yang mampu akan beli yang baru, yang kurang mampu... seperti biasa akan fotokopi...

Sesungguhnya akhi, wang ringgit kita tak akan sia-sia kerana membeli buku. Ilmu yang didapati itu lebih mahal harganya dalam kehidupan berbanding sedikit pelaburan wang kita itu... Semuanya niatkanlah sebagai infaq untuk mendalami agama Allah SWT, Dia pasti akan kebaikan yang lebih banyak...

Rasulullah SAW pernah bersabda:

"... dan barangsiapa yang dikehendaki Allah mendapatkan KEBAIKAN, maka Dia akan menjadikannya FAHAM tentang AD-DIN." (HR Tabrani)

Peruntukkan juga masa, akhi. Buat sasaran untuk habiskan sebuah buku sebulan. Jika rasa bosan, selang seli antara buku-buku yang berlainan 'nature'. Oleh itu, selain buku-buku Dakwah Tarbiyah, baca juga buku-buku Pengurusan dan Peningkatan Diri seperti 7 Habbits, How to Win Friends and Influence People, The Art of War dan sebagainya.

Akhir sekali, kuharapkan warkah ini akan membangkitkan minatmu untuk membaca. Tanya aku, sebagai Murabbimu apakah buku-buku yang bagus dibaca. InsyaAllah, aku akan berikan senarai panjang buku-buku itu kepadamu! Kita sama-sama menghabiskannya... ^_~

Sebagai penutup, ingin kutanyakan sekali lagi kepadamu, "Akhi, anta sedang baca buku apa sekarang ni?"

"Not all readers are leaders, but all leaders are readers.” – Harry S. Truman

Wallahu a'lam. Terima kasih kerana membaca...

Wassalam.

Saudaramu, juga Murabbimu! ^_~

Post a Comment

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP