Powered by Blogger.

[Pendapat] Nilai Dah Tak Penting, Janji Tercapai Maksud!




Kebelakangan ini, terasa mual+muak+jijik melihat paparan di akhbar-akbar arus perdana dan berita-berita di saluran televisyen, malah di laman sesawang dan media sosial.

Fitnah memfitnah, caci maki, keganasan luar batasan dan kelucahan tersebar begitu meluas sekali. Demi merealisasikan kepentingan dan matlamat masing-masing, cara dan jalan tidak menjadi persoalan lagi.

Nampaknya prinsip “matlamat menghalalkan cara” yang dipopularkan oleh Machiavelli dalam'The Prince' begitu mendarah daging dalam masyarakat kita hari ini.
---------------------------------------------

[Kecelaruan Nilai]

Akibat dari persekitaran yang 'KOTOR' dan 'tercemar' ini sistem nilai bagi masyarakat sudahpun mulai celaru. Kita tidak dapat lagi berpegang kepada suatu sistem nilai yang sejati.

Apa tidaknya? Jika akbar-akhbar dan televisyen perdana saban waktu menyiarkan fitnah, skandal seks, dan menghentam sana sini. 

Dikhuatiri akan berlaku konflik nilai dalam diri anak-anak kita. Mungkin mereka tertanya-tanya:

Kenapa polis dengan ganas memukul dan menangkap orang ramai?  
Adakah mereka semua orang jahat?
Adakah pakcik tua yang ditangkap itu orang jahat juga?
Ooo, ustaz/profesor/peguam tu orang jahat...

Anak-anak kita dididik agar bercakap jujur dan bercakap benar, tapi di media massa secara terang benderang mempromosikan fitnah, caci maki, salah menyalahkan serta tipu menipu. 

Gambar lucah dan perilaku seks dihidangkan di depan dada-dada akhbar, kemudian diberikan secara subsidi ke sekolah-sekolah. Apakah sistem nilai yang menjadi sandaran bagi pihak yang berbuat demikian? Adakah kita ingin mendidik anak-anak kita bahawa mendedahkan keaiban orang adalah perkara terpuji dan perlu dicontohi? 

---------------------------------------------

[Nilai Bagi Seorang Muslim]

Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya Iman dan Kehidupan mengatakan:

“Orang beriman itu mempunyai pokok pendirian yang terang dan ukuran yang tetap. Itulah yang menjadi pegangan dalam setiap pekerjaan, tindakan dan tingkahlaku, serta memberikan petunjuk dan isyarat: boleh jalan terus atau menampakkan lampu merah berhenti. Kitab suci al-Quran cukup memberikan bimbingan, dan Rasul selaku penunjuk jalan.”               

Nampak tak? Begitulah asas yang membina sistem nilai bagi diri seorang muslim. Suatu 'stand' yang jelas dan kukuh.

Dia telah diberikan asas neraca yang kuat dalam menilai kehidupannya di dunia ini, iaitu melalui neraca Allah SWT. Dia melihat indah sesuatu yang indah bagi syariat, dan memandang buruk sesuatu yang buruk bagi syariat.

Muslim sejati tidak akan mengambil neraca lain, selain neraca yang telah ditentukan oleh Allah SWT! 

---------------------------------------------


[Formula Berkaitan Nilai]

Oleh itu, marilah kita sama-sama membina semula sistem nilai sejati bersandarkan neraca Allah SWT.

1. Bagi seorang muslim, kita menilai bahawa urusan berkaitan akhirat adalah lebih utama dari urusan dunia. Seperti firman Allah SWT:

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan gurau senda belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Al-An’am 6: 32) 

Melalui neraca ini, kita dapat menilai bahawa apa jua maksud atau matlamat kita di dunia ini, hendaklah berorientasikan akhirat. Adakah disukai atau dibenci oleh Allah SWT? 

2. Janganlah kita terikut-ikut dengan sistem nilai orang-orang yang menyimpang, meskipun mereka adalah majoriti. Hendaklah kita mengkaji dari Al-Quran, As-Sunnah dan pandangan ulama' muktabar. Tidak hanya mengikut persangkaan akal cetek dan nafsu semata-mata.

Firman Allah SWT:

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan meyesatkanmu dari jalan Allah., Mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)." (Surah Al-An'am 6: 116)

3. Kita hendaklah mempunyai sistem nilai yang tetap, sepertimana yang telah secara harmoni dilaksanakan oleh Generasi Terbaik yang terdahulu. Kemudian secara turun temurun diwarisi oleh salafus soleh dan ulama yang diberikan petunjuk.

Sistem nilai yang tetap ini, celupannya adalah celupan Allah SWT. Kemudian menjadi celupan yang menjadi warna asas bagi sebuah ummah bernama Muslim!.

Firman Allah SWT:

"Celupan Allah. Dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya kami menyembah." (Al-Baqarah 2:138)

صِبْغَةَ Dari segi bahasa bererti 'celupan'. Daripada Abu Dahhak, Ibn Abbas mengatakan bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Ad-Din Allah, yakni Islam.

Kembalilah menghayati ISLAM, mudah-mudahan kelak ada NILAInya kita di hadapan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Jumaat yang damai.
Sri Gombak.


Post a Comment

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP