Powered by Blogger.

[Tips] Ayat 'Power' buat Sang Murabbi


Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat 'power'... malah kesemuanya pasti 'power'!! Hari ini, saya ingin berkongsi satu ayat 'power' yang dapat menjadi bekalan asasi dalam karier kita sebagai Murabbi, insyaAllah.

Mudah-mudahan prestasi kemurabbian kita akan lebih 'power'!! ^^

Firman Allah SWT:


"Sesungguhnya kamu telah didatangi seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri. Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu dan dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu dan dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin." 
(At-Taubah 9 :128)

-------------------------------------------

Jom Tadabbur!

"...kamu telah didatangi seorang Rasul..."

Ayat ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW sendiri yang mendatangi penduduk Makkah bagi menyebarkan Islam. 

Awalnya baginda mendatangi kaum keluarga terdekat dan sahabat handai yang dipercayai. Kemudian di era terbuka, hampir tiada rumah yang tidak didatangi oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW hanya berdua sahaja bersama Zaid bin Harithah keluar menuju Thaif bagi menemui mad'unya di sana. Walaupun hasilnya hanya seorang hamba bernama Addas sahaja yang beriman.

Kita juga melihat kegigihan baginda yang menguak khemah-khemah di musim haji menerangkan tentang Islam, satu persatu walaupun ditolak. Akhirnya, dakwah baginda diterima baik oleh jemaah dari Yathrib yang kemudiaannya menjadikan asas Daulah pertama di Madinah.

Tips 1: Sang Murabbi yang mula mendatangi mutarabbi, bukan sebaliknya. Oleh itu, walau sesibuk manapun Sang Murabbi, kita yang perlu mencari masa dan sebab untuk menemui mereka.

-------------------------------------------

"...seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri..."

Rasulullah SAW bukanlah seorang yang 'asing' di kalangan penduduk Makkah. Beliau telah dikenali sebagai  seorang pemuda yang jujur, amanah, cerdik dan berbudi pekerti yang luhur. Beliau digelar "Al-Amin."

Hubungan ini bukan setakat pengenalan secara fizikal, malah menerobosi jiwa dan perasaan mad'unya. Berkata Syed Qutb rahimahullah:

"Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan "telah datang seorang Rasul dari kamu (minhum)" malah Dia mengatakan "dari kalangan diri kamu (min anfusikum)" kerana ungkapan ini lebih peka dan lebih mendalam hubungannya serta lebih memperlihatkan semacam hubungan yang rapat yang mengikat mereka dengan baginda, iaitu baginda adalah sebahagian dari diri mereka yang mempunyai hubungan jiwa yang lebih mendalam dan lebih peka." 
(Fi Zhilalil Qur'an)

Tips 2: Sang Murabbi tidak boleh terlalu 'asing' dengan mutarabbi. Sebaliknya kita perlu 'hidup - mu'ayasyah' bersama  mereka, sehingga akan menumbuhkan hubungan yang akrab dan kecintaan dalam jiwa. Kita menjadi sebahagian daripada hidup mereka!

-------------------------------------------

"...Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu..."
  
Peribadi Rasulullah SAW peka terhadap situasi dan kesusahan umatnya. Jika ditelusuri sirah nabawiyah, kita pasti akan bertemu pelbagai kisah keprihatinan baginda terhadap para Sahabat RA. 

Baginda sentiasa mempermudahkan dalam beragama dan tidak terlalu memaksa di luar kemampuan mereka. Sabda Rasulullah SAW, "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan." (HR Bukhari)

Daripada Aisyah RHA bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak diberi pilihan melainkan baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa, dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (HR Bukhari & Muslim) 

Tips 3: Sang Murabbi perlu prihatin dengan isu-isu yang menimpa mutarabbi. Kita perlu menyelami permasalahan mereka dan berusaha membantu sedaya mungkin. Jangan berikan tugasan yang terlalu berat dan di luar kemampuan mutarabbi, sebaliknya binalah kemampuan tersebut secara berperingkat. 

-------------------------------------------

"...dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu..."

Sungguh-sungguhnya Rasulullah SAW dalam berdakwah dan berjihad mengajarkan kepada kita betapa baginda terlalu menginginkan keselamatan bagi sekalian umat manusia. 

Baginda teramat sedih apabila bapa saudaranya sendiri, Abu Tolib meninggal dunia tanpa beriman. Rasulullah SAW berdoa tidak henti-henti agar diampunkan Abu Tolib, sehinggalah turunnya larangan dari Allah SWT. 

Ketika darah sedang mengalir keluar dari luka-luka akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif, malaikat turun dengan tawaran untuk menghimpitkan bukit-bukit ke atas orang-orang kafir itu. 

Namun baginda hanya berkata sambil berdoa: "Jangan! Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata, tidak disekutukan-Nya dengan apa pun."

Begitulah, bagi Rasulullah SAW keimanan dan keselamatan umat manusia adalah asas bagi dakwah dan perjuangannya.

Tips 4: Sang Murabbi perlu sungguh-sungguh mentarbiyah mutarabbi dengan penuh pengharapan untuk mengeluarkan mereka dari kelamnya jahiliyyah kepada terang-benderangnya cahaya Islam. Sentiasalah berdoa agar mutarabbi diberikan hidayah dan istiqamah di jalan-Nya. 

-------------------------------------------

"...dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin..."

Rasulullah SAW dalam dakwah baginda mengutamakan kasih sayang dan belas ehsan. Banyak hadis yang menggambarkan bagaimana sayangnya baginda kepada orang-orang beriman.

Sabda baginda, "Man la yarham, la yurham - Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi." (HR Muslim)

Baginda meringkaskan solat berjemaah apabila anak-anak menangis, supaya ibu yang sedang berjemaah sempat mengurus anaknya. Beliau tidak keluar untuk solat tarawih setiap malam, kerana takut-takut menjadi wajib kepada umat Islam.

Baginda sentiasa bersabar dengan karenah orang-orang Badawi yang agak kasar perilaku mereka. Penuh berhikmah memperbetulkan setiap kesalahan mereka secara begitu berhikmah.

Malah, di akhir-akhir kehidupannya, Rasulullah SAW menyebut-nyebut "Ummati, ummati, umaati!" Mengenangkan keadaan orang-orang beriman selepas ketiadaan baginda... Begitulah cinta seorang yang Rasul Agung! Rahmatan lil a'lamin...

Tips 5: Wujudkanlah cinta dalam hati kepada mutarabbi, dan hidupkanlah perasaan belas ehsan. Sabarlah dengan karenah mereka, seperti sabarnya seorang ibu dalam mendidik anak-anak. Tiada kepentingan yang diingini selain mutarabbi kita terus tsabat di jalan Allah.

-------------------------------------------

Begitulah sedikit tadabbur tentang ayat yang begitu 'power' ini. Sebuah teladan terbaik dari Sang Murabbi Terhebat kepada kita semua! Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. 

Wallahu a'lam. Selamat beramaal! ^^

Read more...

[Tips] Bagaimana Menggagalkan Halaqah?



Kita selalu dengar tips Halaqah Muntijah (produktif) atau tips Murabbi Sukses! Murabbi hendaklah berbuat itu dan ini... Tapi, dalam post kali ini saya ingin bereksperimen dengan kaedah "reverse psychology" pula. 

Tips yang disenaraikan ini berdasarkan survey minggu lepas di Facebook tentang topik yang sama. Jazakallahu khayran kepada ikhwah & akhawat yang turut mengundi serta berkongsi tips.


Tips Menggagalkan Halaqah


Tops 10 Tips:

  1. Jangan mengambil tahu hal ehwal mutarabbi (41 undian)
  2. Jangan prepare sebelum datang ke halaqah (33 undian)
  3. Jangan bagi peluang mutarabbi bercakap, jangan banyakkan berdiskusi (28 undian)
  4. Memulakan halaqah dengan wajah masam, tidak ceria serta marah-marah (23 undian)
  5. Selalulah cancel halaqah last minute (23 undian)
  6. Cuba bosankan mutarabbi dengan cara penyampaian seperti baca kitab kuning (23 undian)
  7. Memberi teguran dengan cara yang tidak berhikmah & menjatuhkan maruah mad'u (21 undian)
  8. Tak perlu adakan agenda perbincangan dakwah mutarabbi kerana ia memakan masa (20 undian)
  9. Tidak menghargai mad'u apabila berjaya melaksanakan sesuatu tugas (20 undian)
  10. Jangan benarkan sebarang perbincangan. Hanya murabbi SAHAJA berhak bercakap (20 undian)

Lain-lain Tips (Bawah 20 undian, tapi juga sangat berkesan):

  1. Tak perlu tanya hal-hal peribadi dan keluarga mutarabbi semasa halaqah 
  2. Selalulah lewat datang ke halaqah 
  3. Datanglah ke halaqah dengan pakaian yang selekeh dan tidak perlu berwangian
  4. Buat halaqah ditempat yang sama sahaja
  5. Tidak supportive terhadap tugas-tugas mutarabbi
  6. Murabbi perlu tidur sejurus mutarabbi memulakan penyampaiannya 
  7. Tak pernah belanja mutarabbi makan
  8. Tak perlu bertawakkal pada Allah sebelum memulakan usrah.
  9. Murabbi ingat dia bagus sangat..hoho
  10. Tidak ikhlas 
  11. Jangan galakkan mutarabi hadir liqo gabungan atau program satu level
  12. Paksa mutarabbi buat sesuatu yang murabbi tahu mutarabbi tidak akan mampu buat.
Selamat beramal!!

Disclaimer:

Post ini menggunakan kaedah "reverse psychology"... Sila amalkan secara "reverse" juga ye... ^^


Read more...

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP