Powered by Blogger.

Senyum-senyum Murabbiku

Bismillahirrahmanirrahim...


'Tribute' kepada para Murabbi, moga terus senyum-senyum ye! ^__^ 

---------------------------------------------------

Senyum-senyum Si Murabbi
Basah lencun ke liqa' menunggang
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Err, ada ana seorang je bang.

Senyum-senyum Si Murabbi
Sebab tugasan semua dah bagi
Senyum-senyum Si Mutarabbi 
Eh, ana ke present minggu ni? lol

Senyum-senyum Si Murabbi
Tiba-tiba datang bertandang, 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Alahai bilik dah macam tongkang.

Senyum-senyum Si Murabbi
Beria-ria ajak ke program 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Afwan, sepupu ana masuk UiTM...

Senyum-senyum Si Murabbi
Dah hebat bertaujih gitu-gini 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Apa la naqib nak cita ni... ???

Senyum-senyum Si Murabbi
Walau hanya Tuhan yang mengetahui
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Moga kau sudilah memahami... 

Senyum! 
Enjoy the seriousness! ^__^


Read more...

Selamanya Sang Mutarabbi...

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebuah refleksi khusus buat diriku sendiri, moga terus istiqamah menjadi Sang Mutarabbi; walaupun selalu 'cuba-cuba berlagak pandai' sebagai Sang Murabbi...




Apa itu Tarbiyah? 

Jika ditanya, pasti lidah kau fasih mengeluarkan segala definisi para ulama tentang Tarbiyah. Maka, keluarlah segala istilah-istilah 'bombastik' lagi 'haraki' yang memang sudah sebati di dalam jiwamu itu.

Maklumlah, sudah lama kau bergelumang di medan tarbiyah mentarbiyah ini...

Namun, kubertanya pada dirimu sendiri... jujurnya apakah erti Tarbiyah itu bagimu? Jawablah dengan jiwa dan perasaanmu sendiri! 

-----------------------------------------

Aku menerawang jauh di sudut hati. Kubelek-belek kotak memori. Lalu terpampanglah imej-imej para murabbi dan mutarabbiku, ketenung sedalamnya wajah-wajah bersih mereka...

Lalu kulihat diriku ketika bersama mereka. Aku masih baru dalam suasana sebegini, begitu muda... begitu hijau. Duduk dalam liqa' dengan khusyuk, mendengar penuh inquiri tentang fikrah ini, tentang jalan ini dari Sang Murabbi.

Aku melihat diriku begitu bersemangat dengan suasana baru yang kukecapi ini. Kehangatan 'salam peluk', kemanisan senyuman mereka, keindahan ukhuwah dan keikhlasan cinta mereka...

Kulihat juga minatku pada buku-buku Islami makin menebal. Jika ada buku baru yang direkomendasi, terus kusambar untuk dibeli. Jika kekurangan dana, tak jarang kufotokopi... Walaupun tebalnya jadi dua kali ganda, aku tak peduli! Yang penting, hausnya ilmu itu dapat kupenuhi.

Kulihat diri mula merapati dengan Al-Quran. Jika dulu, hanya buku Yaasin sahaja kutatapi pada setiap malam Jumaat, tapi kudapati diriku mulai menerokai helaian-helaian yang lebih tebal dari itu...

Kulihat diriku terkial-kial belajar Qiamullail. Maklumlah, murabbi mula bertanya-tanya di dalam liqa'. Hampir pening aku memikirkan bagaimanalah nak dapat bangun Qiam waktu itu... Bermacam-macam cara aku gunakan... (aku tersenyum)

Fuhh, inilah dunia baruku!

-----------------------------------------
Kebosanan.

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari...

Lama kelamaan kulihat dudukku dalam liqa' mulai terawang-awangan. Tak jarang aku melihat jam. Kebosanan mula menyelinap... memerangkap kalbuku.

Kulihat saat-saat kemalasan melandaku. Ku tak endahkan sms mereka. 'Missed called' mereka perkara biasa. Paling malas, kututup henset...

Tilawah. Solat berjemaah. Qiamullail. Mulai surut dari hati. Spiritnya sudah lari.

Eh, apa dah jadi ni?

-----------------------------------------

Kerapkali Ukhuwah Menyelamatkan.

Kulihat Sang Murabbi tak putus-putus memotivasi. Bersabar dengan kebosanan dan kemalasanku. Senyuman tak pernah putus. Tak pernah marah. Tak pernah naikkan suara. 

Hanya nasihat dan taujih dari hati. Getarannya kurasai hingga ke hari ini... Saudara-saudara yang lain juga tak putus-putus mendatangi, menziarahi... membawa harapan yang tinggi-tinggi...

Lalu, aku pun kembali! Ya, kini dengan penuh tekad waja di hati. Kuberjanji akan terus berbakti, demi fikrah dan jalan ini. 

-----------------------------------------

Masa berlalu, perananku juga sudah bertukar. Kulihat diriku mula mempunyai 'bulatan sendiri'. Membawa adik-adik mutarabbi. Ku asuh mereka penuh harapan, demi mengisi kekosongan gerabak perjuangan.

Ku melihat diriku mula bertaujih di hadapan orang lain. Berkongsi kefahaman dan pengalaman. 

Ada yang berkerut muka, ada yang wajah bercahaya (macam cite kartun, watak yang baru dapat pencerahan tu..), ada yang mengangguk-angguk kepala, dan tak kurang yang kepalanya dah di atas meja.

Kulihat adik-adik yang bersemangat! Bermacam-macam idea, cadangan dan kritikan dihadapkan. Kelihatan aku tersenyum. Terus melayan mereka, walau kadang-kadang seperti agak kebosanan... Tak ku endahkan, mereka terus kulayan.

-----------------------------------------

Eh, jadi apa itu Tarbiyah? Menerawang pulak kau ni!

Oklah, bagi aku Tarbiyah ini adalah Kehidupan! Ia ibarat udara, aku akan 'mati' tanpa menghirupnya. Tanpa Tarbiyah hidupku akan kosong, tiada nilai yang bererti. 

Tarbiyah adalah sebuah proses kematangan, proses menuju kesempurnaan! Maksudku bukan sempurna macam malaikat... tanpa sebagai manusia! Aku masih belajar menjadi dewasa, dan tak pernah selesai belajar...

Ya, Tarbiyah adalah sebuah proses pendewasaan, kematangan dan kesempurnaan sebagai seorang manusia... yang masih tersalah, tersilap... tapi tetap mahu berubah jadi hebat!

Aku sentiasa mahu jadi Sang Mutarabbi. Sentiasa memerlukan Tarbiyah. Hinggalah masanya tiba, untuk menunaikan janji kita sebagai manusia... kembali kepada-Nya.

...maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan... 

... kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur- angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan (muda) dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya... 

...Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

(Al-Hajj 22: 5)

Wallahu a'lam...

Moga aku terus tsabat!

Read more...

[Tips] Ayat 'Power' buat Sang Murabbi


Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat 'power'... malah kesemuanya pasti 'power'!! Hari ini, saya ingin berkongsi satu ayat 'power' yang dapat menjadi bekalan asasi dalam karier kita sebagai Murabbi, insyaAllah.

Mudah-mudahan prestasi kemurabbian kita akan lebih 'power'!! ^^

Firman Allah SWT:


"Sesungguhnya kamu telah didatangi seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri. Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu dan dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu dan dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin." 
(At-Taubah 9 :128)

-------------------------------------------

Jom Tadabbur!

"...kamu telah didatangi seorang Rasul..."

Ayat ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW sendiri yang mendatangi penduduk Makkah bagi menyebarkan Islam. 

Awalnya baginda mendatangi kaum keluarga terdekat dan sahabat handai yang dipercayai. Kemudian di era terbuka, hampir tiada rumah yang tidak didatangi oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW hanya berdua sahaja bersama Zaid bin Harithah keluar menuju Thaif bagi menemui mad'unya di sana. Walaupun hasilnya hanya seorang hamba bernama Addas sahaja yang beriman.

Kita juga melihat kegigihan baginda yang menguak khemah-khemah di musim haji menerangkan tentang Islam, satu persatu walaupun ditolak. Akhirnya, dakwah baginda diterima baik oleh jemaah dari Yathrib yang kemudiaannya menjadikan asas Daulah pertama di Madinah.

Tips 1: Sang Murabbi yang mula mendatangi mutarabbi, bukan sebaliknya. Oleh itu, walau sesibuk manapun Sang Murabbi, kita yang perlu mencari masa dan sebab untuk menemui mereka.

-------------------------------------------

"...seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri..."

Rasulullah SAW bukanlah seorang yang 'asing' di kalangan penduduk Makkah. Beliau telah dikenali sebagai  seorang pemuda yang jujur, amanah, cerdik dan berbudi pekerti yang luhur. Beliau digelar "Al-Amin."

Hubungan ini bukan setakat pengenalan secara fizikal, malah menerobosi jiwa dan perasaan mad'unya. Berkata Syed Qutb rahimahullah:

"Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan "telah datang seorang Rasul dari kamu (minhum)" malah Dia mengatakan "dari kalangan diri kamu (min anfusikum)" kerana ungkapan ini lebih peka dan lebih mendalam hubungannya serta lebih memperlihatkan semacam hubungan yang rapat yang mengikat mereka dengan baginda, iaitu baginda adalah sebahagian dari diri mereka yang mempunyai hubungan jiwa yang lebih mendalam dan lebih peka." 
(Fi Zhilalil Qur'an)

Tips 2: Sang Murabbi tidak boleh terlalu 'asing' dengan mutarabbi. Sebaliknya kita perlu 'hidup - mu'ayasyah' bersama  mereka, sehingga akan menumbuhkan hubungan yang akrab dan kecintaan dalam jiwa. Kita menjadi sebahagian daripada hidup mereka!

-------------------------------------------

"...Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu..."
  
Peribadi Rasulullah SAW peka terhadap situasi dan kesusahan umatnya. Jika ditelusuri sirah nabawiyah, kita pasti akan bertemu pelbagai kisah keprihatinan baginda terhadap para Sahabat RA. 

Baginda sentiasa mempermudahkan dalam beragama dan tidak terlalu memaksa di luar kemampuan mereka. Sabda Rasulullah SAW, "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan." (HR Bukhari)

Daripada Aisyah RHA bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak diberi pilihan melainkan baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa, dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (HR Bukhari & Muslim) 

Tips 3: Sang Murabbi perlu prihatin dengan isu-isu yang menimpa mutarabbi. Kita perlu menyelami permasalahan mereka dan berusaha membantu sedaya mungkin. Jangan berikan tugasan yang terlalu berat dan di luar kemampuan mutarabbi, sebaliknya binalah kemampuan tersebut secara berperingkat. 

-------------------------------------------

"...dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu..."

Sungguh-sungguhnya Rasulullah SAW dalam berdakwah dan berjihad mengajarkan kepada kita betapa baginda terlalu menginginkan keselamatan bagi sekalian umat manusia. 

Baginda teramat sedih apabila bapa saudaranya sendiri, Abu Tolib meninggal dunia tanpa beriman. Rasulullah SAW berdoa tidak henti-henti agar diampunkan Abu Tolib, sehinggalah turunnya larangan dari Allah SWT. 

Ketika darah sedang mengalir keluar dari luka-luka akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif, malaikat turun dengan tawaran untuk menghimpitkan bukit-bukit ke atas orang-orang kafir itu. 

Namun baginda hanya berkata sambil berdoa: "Jangan! Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata, tidak disekutukan-Nya dengan apa pun."

Begitulah, bagi Rasulullah SAW keimanan dan keselamatan umat manusia adalah asas bagi dakwah dan perjuangannya.

Tips 4: Sang Murabbi perlu sungguh-sungguh mentarbiyah mutarabbi dengan penuh pengharapan untuk mengeluarkan mereka dari kelamnya jahiliyyah kepada terang-benderangnya cahaya Islam. Sentiasalah berdoa agar mutarabbi diberikan hidayah dan istiqamah di jalan-Nya. 

-------------------------------------------

"...dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin..."

Rasulullah SAW dalam dakwah baginda mengutamakan kasih sayang dan belas ehsan. Banyak hadis yang menggambarkan bagaimana sayangnya baginda kepada orang-orang beriman.

Sabda baginda, "Man la yarham, la yurham - Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi." (HR Muslim)

Baginda meringkaskan solat berjemaah apabila anak-anak menangis, supaya ibu yang sedang berjemaah sempat mengurus anaknya. Beliau tidak keluar untuk solat tarawih setiap malam, kerana takut-takut menjadi wajib kepada umat Islam.

Baginda sentiasa bersabar dengan karenah orang-orang Badawi yang agak kasar perilaku mereka. Penuh berhikmah memperbetulkan setiap kesalahan mereka secara begitu berhikmah.

Malah, di akhir-akhir kehidupannya, Rasulullah SAW menyebut-nyebut "Ummati, ummati, umaati!" Mengenangkan keadaan orang-orang beriman selepas ketiadaan baginda... Begitulah cinta seorang yang Rasul Agung! Rahmatan lil a'lamin...

Tips 5: Wujudkanlah cinta dalam hati kepada mutarabbi, dan hidupkanlah perasaan belas ehsan. Sabarlah dengan karenah mereka, seperti sabarnya seorang ibu dalam mendidik anak-anak. Tiada kepentingan yang diingini selain mutarabbi kita terus tsabat di jalan Allah.

-------------------------------------------

Begitulah sedikit tadabbur tentang ayat yang begitu 'power' ini. Sebuah teladan terbaik dari Sang Murabbi Terhebat kepada kita semua! Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. 

Wallahu a'lam. Selamat beramaal! ^^

Read more...

[Tips] Bagaimana Menggagalkan Halaqah?



Kita selalu dengar tips Halaqah Muntijah (produktif) atau tips Murabbi Sukses! Murabbi hendaklah berbuat itu dan ini... Tapi, dalam post kali ini saya ingin bereksperimen dengan kaedah "reverse psychology" pula. 

Tips yang disenaraikan ini berdasarkan survey minggu lepas di Facebook tentang topik yang sama. Jazakallahu khayran kepada ikhwah & akhawat yang turut mengundi serta berkongsi tips.


Tips Menggagalkan Halaqah


Tops 10 Tips:

  1. Jangan mengambil tahu hal ehwal mutarabbi (41 undian)
  2. Jangan prepare sebelum datang ke halaqah (33 undian)
  3. Jangan bagi peluang mutarabbi bercakap, jangan banyakkan berdiskusi (28 undian)
  4. Memulakan halaqah dengan wajah masam, tidak ceria serta marah-marah (23 undian)
  5. Selalulah cancel halaqah last minute (23 undian)
  6. Cuba bosankan mutarabbi dengan cara penyampaian seperti baca kitab kuning (23 undian)
  7. Memberi teguran dengan cara yang tidak berhikmah & menjatuhkan maruah mad'u (21 undian)
  8. Tak perlu adakan agenda perbincangan dakwah mutarabbi kerana ia memakan masa (20 undian)
  9. Tidak menghargai mad'u apabila berjaya melaksanakan sesuatu tugas (20 undian)
  10. Jangan benarkan sebarang perbincangan. Hanya murabbi SAHAJA berhak bercakap (20 undian)

Lain-lain Tips (Bawah 20 undian, tapi juga sangat berkesan):

  1. Tak perlu tanya hal-hal peribadi dan keluarga mutarabbi semasa halaqah 
  2. Selalulah lewat datang ke halaqah 
  3. Datanglah ke halaqah dengan pakaian yang selekeh dan tidak perlu berwangian
  4. Buat halaqah ditempat yang sama sahaja
  5. Tidak supportive terhadap tugas-tugas mutarabbi
  6. Murabbi perlu tidur sejurus mutarabbi memulakan penyampaiannya 
  7. Tak pernah belanja mutarabbi makan
  8. Tak perlu bertawakkal pada Allah sebelum memulakan usrah.
  9. Murabbi ingat dia bagus sangat..hoho
  10. Tidak ikhlas 
  11. Jangan galakkan mutarabi hadir liqo gabungan atau program satu level
  12. Paksa mutarabbi buat sesuatu yang murabbi tahu mutarabbi tidak akan mampu buat.
Selamat beramal!!

Disclaimer:

Post ini menggunakan kaedah "reverse psychology"... Sila amalkan secara "reverse" juga ye... ^^


Read more...

[Khas Hari Guru] Murabbi Wa Erai

Sempena 16 Mei ini, saya teringat sebuah artikel di blog lama. Eloklah dipost semula demi tatapan pembaca di sini... ^^ 

-------------------------------------------------------------


Saya mendapat idea untuk menulis artikel ini selepas menonton sebuah drama Jepun yang bertajuk "Sensei Wa Erai" ataupun yang bermaksud "Teachers are Awesome!"

"Hikmah itu barang berharga orang Mukmin yang hilang, di mana sahaja dia menemuinya maka dialah yang lebih berhak terhadapnya." (HR At Tirmidzi dan Ibnu Majah)

"Dia (Allah) mengurniakan hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang diberi hikmah, maka sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan yang amat besar."(Al Baqarah 2:269)

-------------------------------------------------------------

Sensei Wa Erai

 


Read more...

[Pendapat] Nilai Dah Tak Penting, Janji Tercapai Maksud!




Kebelakangan ini, terasa mual+muak+jijik melihat paparan di akhbar-akbar arus perdana dan berita-berita di saluran televisyen, malah di laman sesawang dan media sosial.

Fitnah memfitnah, caci maki, keganasan luar batasan dan kelucahan tersebar begitu meluas sekali. Demi merealisasikan kepentingan dan matlamat masing-masing, cara dan jalan tidak menjadi persoalan lagi.

Nampaknya prinsip “matlamat menghalalkan cara” yang dipopularkan oleh Machiavelli dalam'The Prince' begitu mendarah daging dalam masyarakat kita hari ini.

Read more...

[Certarpen] Aku Tak Nak Pergi Mukhayyam!!!

"Certarpen" ialah singkatan bagi Cerita Tarbawi Pendek... ^^




Teet..teet... mesej murabbi aku memasuki inbox henset.

Salam. Akhi fillah, i.Allah pd 15-19/1 ini , kita akan adakan Mukhyam di Kem The Woods. Byk aktiviti menarik disediakan! Mohon lapangkan masa utk hadir ye. Confirm Y/T. Jzkk ^^"


Hmm, akhir semester je, mesti nak buat mukhayyam! Dahlah sampai 3, 4 hari...dalam hutan belantara pulak tu. Aku nak balik kampung pun terbantut!

Hanset dihempaskan di atas katil dan aku meneruskan studi untuk exam minggu depan. Banyak lagi bab nak baca ni!

Read more...

[Warkah] Mutarabbiku, Apa yang Kau Baca Hari Ini?

Assalamualaikum... ^_^

Segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam semoga tercurahkan kepada murabbi teragung, Rasulullah SAW yang dimuliakan, para ahlu bayt, para Sahabat RA, tabi'in, tabi' tabi'in dan seterusnya orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dulu, kini dan selamanya....

Akhi fillah, semoga warkah ini diterima dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya. Juga terima kasih kerana sudi membacanya walaupun dalam kesibukan tugas dan amanah masing-masing.


Akhi, Apa yang Kau Baca Hari Ini?!


Read more...

[Certarpen] Tak Main La 'Bulatan', Saya Pegi Seminar & Konferens je...

"Certarpen" ialah singkatan bagi Cerita Tarbawi Pendek... ^^




"Bang, saya bukan tak nak join 'bulatan', tapi perlu ke? Lagipun saya dah banyak baca buku-buku agama, dengar ceramah ustaz-ustaz, surfing ilmu di internet dan hadir dalam Seminar atau Konferens Islam." kata seorang Bro D dalam sebuah LDK.

Gulp! Aku menelan air liur. Iyalah, tatkala kami berdegar-degar berkongsi tentang betapa URGENT dan indahnya 'berbulatan', dengan video-video pertandingan APG yang OSEM, timbul pulak persoalan ini.

Read more...

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP