Powered by Blogger.

Tepu dengan Tarbiyah...

"Akhi, ana bukan tak mau datang program-program tarbawi ni. Tapi, ana dah rasa tepu dengan pengisian. Ana perlukan sesuatu yang lebih segar dan baru... Ni asyik-asyik berulang benda yang sama je..."



Pernahkan mutarabbi anda meluahkan perasaan sedemkian? Apa perasaan anda dan bagaimanakah anda meladeni isu ini? Mengapa terjadi begitu?

InsyaAllah topik kita dalam entri ini ialah berkisar tentang tema ini. Saya tidak menjanjikan sebuah penyelesaian, sebaliknya tulisan ini lebih berbentuk refleksi kepada kita semua. Moga ada sedikit manfaatnya.

Apakah itu tepu?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, perkataan tepu bermaksud penuh sesak, padat, tumpat atau sarat. 

Dalam istilah sains pula, tepu bermaksud keadaan sesuatu zat atau bahan apabila had keupayaan menampung sesuatu zat atau bahan lain telah tercapai.

Aktiviti:

Bayangkan segelas air, kemudian dimasukkan gula sesudu demi sesudu dan kacau. Larut? Ok, masukkan lagi gula dan kacau, sehinggalah lama kelamaan gula itu sudah tidak mau larut lagi... Jadi, hal ini kita boleh katakan bahawa larutan tersebut telah tepu!

Dah faham kan?

Tarbiyah Ertinya Berkembang.

Salah satu maksud tarbiyah secara bahasa ialah berkembang. Dan perkembangan itu adalah suatu proses...

Maka, dapat difahamai bahawa tarbiyah ini ialah proses membina, membentuk dan mengembangkan aspek-aspek penting bagi diri mutarabbi seperti pemikiran, kejiwaan, budi pekerti, ibadah, amal dan sebagainya agar menepati matlamat sebenar penciptaannya sebagai seorang manusia.

Ibarat sebidang tanah yang kering kontang, kemudian turunlah hujan membasahinya dan menyuburkannya kembali. Maka, benih-benih yang dulunya tidak dapat tumbuh dalam persekitaran kontang tersebut, kini dapat tumbuh kembali dan memberikan hasilnya.

Firman Allah SWT:

...Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnyahiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

(Al-Hajj 22: 5)

Tepu dengan Tarbiyah.

Berdasarkan beberapa definisi di atas, frasa "tepu dengan tarbiyah" boleh diertikan sebagai:

"Keadaan mutarabbi yang sudah tidak mampu menampung lagi proses pembinaan, pembentukan dan pengembangan dirinya dalam mencapai matlamat sebenarnya penciptaannya sebagai seorang manusia."

Nanti dulu!!

Benarkah mutarabbi sudah tepu dengan tarbiyah? Atau sebenarnya dia hanya tepu dengan bentuk program dan pengisian yang diterimanya? Perkara ini sangat perlu diperjelaskan terlebih dahulu. 

Ini kerana, mungkin mutarabbi asalnya sangat berminat untuk membina dan mengembangkan potensi dirinya melalui Tarbiyah Islamiyah. Namun, bentuk-bentuk pembinaan yang diterimanya dirasakan gagal bagi mencapai tujuan tersebut, lalu dia menyalahkan terbiyah.

1. Halaqah terasa hambar dan pengisiannya tidak teratur, asyik-asyik tazkirah dan kupasan isu semasa sahaja. Kadang-kadang murabbi hanya membaca buku kepada mutarabbi, bukannya menyampaikan bahan tarbiyah dalam erti kata yang sebenarnya.

2. Daurah pula tidak variasi pengisiannya. Muwajjih menyampaikan tajuk dengan satu hala, soalan sikit-sikit, kemudian selesai dan peserta pun balik. Tiada perbincangan dalam kumpulan, tiada aktiviti luaran, tiada masa bermu'ayasyah dengan muwajjih, tiada itu dan ini...

3. Mabit pula terasa kurang ruhiyahnya. Dengan kedatangan perserta yang boleh dikira jari, ditambah pula sembang-sembang dan gelak ketawa sebelum tidur yang menghilangkan suasana tazkiyah dan 'ubudiyah.

Begitulah seterusnya keadaan yang dirasakan oleh mutarabbi yang tepu dengan terhadap wasilah-wasilah tarbiyah yang lain. 

Taujihat Qur'ani.

Allah SWT berfirman:

"Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau (wahai Muhammad) telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."
(Ali-Imran 3: 159)

Daripada ayat di atas, mari kini keluarkan beberapa penyelesaian bagi isu tepu dengan tarbiyah ini:

1. "Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau (wahai Muhammad) telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu..."

Apabila ada mutarabbi yang mengadu tepu dengan tarbiyah, janganlah terus melenting dan mengganggap dia adalah produk yang gagal. Sebaliknya, berlapang dada dan terimalah pengaduan tersebut dengan baik serta muhasabah diri. Jangan sekali-kali meluahkan rasa kecewa dengan pengaduan mutarabbi kita ini...

2. "Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka"

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada berbuat kesilapan dan kesalahan. Oleh itu, jika mutarabbi yang mengadu itu memang mempunyai kekurangan dan kesilapan masa lalu (seperti tidak komited program, menangguh-nangguh tugasan, tidak menunaikan amanah dll), janganlah terus mengungkit-ungkit perkara tersebut. Sebaliknya, ajaklah dia beristighfar dan berusaha meningkatkan diri.

3. "dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu."

Bukalah seluas-luasnya peluang kepada mutarabbi untuk memberi cadangan dan penambahbaikan halaqah dan program-program tarbawi mereka. Malah, jika perlu diubah beberapa perkara yang "tidak tetap" dan dimasukkan beberapa pendekatan baru yang lebih efektif, terimalah dengan senang hati.

Berbincanglah juga dengan mutarabbi bagaimana mereka boleh membantu diri mereka sendiri untuk merealisasikan tujuan-tujuan tarbiyah. Perkenalkan mereka dengan Tarbiyah Dzatiyah, dan motivasikanlah mereka membaca buku-buku dakwah tarbiyah bagi lebih mengembangkan fikrah serta meluaskan tsaqafah.

4. "...Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

Sesudah itu, buatlah satu perancangan dan azam di antara murabbi dan mutarabbi. Atau jika melibatkan organisasi, wujudkanlah satu resolusi dan langkah-langkah strategik mengenainya. Usahakanlah agar perancangan ini mampu meningkatkan kualiti tarbawi di persekitaran kita dan mencairkan ketepuan yang sedang melanda.

Setelah itu, jangan lupa memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang menguasai hati manusia, agar dibimbing dan terus dianugerahkan nikmat berada di jalan-Nya.

Wallahu a'lam. 

p/s: - Kalau gula semakin bertambah, tapi airnya tetap sama, memang akan tepu. Maka, cairkanlah ketepuan itu dengan menambah lebih banyak airnya dan limpahkanlah kemanisan tersebut kepada orang lain yang sedang kepahitan.... ^^

Read more...

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP