Powered by Blogger.

[Certarpen] Aku Tak Nak Pergi Mukhayyam!!!

"Certarpen" ialah singkatan bagi Cerita Tarbawi Pendek... ^^




Teet..teet... mesej murabbi aku memasuki inbox henset.

Salam. Akhi fillah, i.Allah pd 15-19/1 ini , kita akan adakan Mukhyam di Kem The Woods. Byk aktiviti menarik disediakan! Mohon lapangkan masa utk hadir ye. Confirm Y/T. Jzkk ^^"


Hmm, akhir semester je, mesti nak buat mukhayyam! Dahlah sampai 3, 4 hari...dalam hutan belantara pulak tu. Aku nak balik kampung pun terbantut!

Hanset dihempaskan di atas katil dan aku meneruskan studi untuk exam minggu depan. Banyak lagi bab nak baca ni!


[Selang 1 hari]

Teet..teet... mesej murabbi aku memasuki inbox henset.

"Salam. Akhi, sihat? Camne, boleh pegi mukhayyam ke? Ahli usrah kita yg lain dah respon ok, i.A."

Aku menaip dengan malasnya... "Wslm. Sihat. Ana x pasti lagi la... Nanti ana cnfirn blk ye."

Teet..teet... murabbi aku membalas: "Ok akhi, moga dipermudahkan exam n i.A boleh dtg mukhayyam ye! ^^"

Hmm, rasa bersalah mula menyelinap. Sebenarnya aku takda apa-apa pun lepas habis exam. Cuma, aku malas sikit la kalau bab-bab pergi mukhayyam ni. Kalau usrah dengan daurah aku takda masalah!



Kenapa aku tak suka pergi mukhayyam? Sebab aku dengar kalau pergi mukhayyam:

1. Kena buat banyak persiapan! Kasut dan baju sukan, lampu suluh, al-Quran dll. Pastu kena berjogging dan bersukan sekurangnya seminggu sebelum mukhayyam! (Ni yang aku lemah sangat...)

2. Aktiviti fizikal! Dari hari pertama sampai akhir penuh dengan PT, kawad, berlari, mendaki, memanjat, melompat, meniti, mengangkat dll. Pendek kata peluh je memanjang...

3. Disiplin! Ada Kem Komandan la, ada Amir la, ada Qaid la... Semuanya nak bagi arahan kat aku! Suruh buat tu, buat ni... Mak aku kat rumah pun tak suruh macam-macam!!!

4. Menyusahkan! Ada ke kena tidur dalam khemah yang kecik tu 5 orang? Berhimpit-himpit dan tak selesa langsung! Nak pegi tandas pun kena beratur panjang... Adoi la...

Jadi, aku mula bertekad taknak pergi Mukhayyam!!!



[Selang 3 Hari. Usrah Time!!]

Di musim exam ni, murabbi aku tak nak buat usrah seperti rutin. Biasanya usrah kami 2-3 jam, dengan pelbagai baramij, tapi kali ni kami 'berlepak' santai di bawah sepohon pokok, dekat padang Kompleks Sukan Lelaki.

"Untuk lepaskan tekanan exam..", kata murabbi aku semasa memilih tempat itu.

Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup menyapu muka. Kelihatan beberapa orang 'brothers' sedang berjogging dan ada pula yang bermain futsal. Aku dan rakan-rakan seusrah, Muaz, Zack, Megat dan Faruq berborak-borak sambil menunggu ketibaan Sang Murabbi.

Dari jauh Sang Murabbiku berlarian datang. Beliau berpakaian sukan. Mukanya merah dan berpeluh-peluh.

"Assalamualaikum! Kabare?" sapanya. "Waalaikumussalam! Waras!!!" jawab kami serentak bagaikan sudah berjanji. "Sorilah, ana pi jogging dulu. Nak prepare untuk mukhayyam nanti!" kata Sang Murabbi.

Setelah beramah-tamah beberapa minit, kami pun mula berusrah...



[Selang 15 minit]

Murabbi kami mula bertaujih. Kali ini tiada laptop atau whiteboard. Biasanya kajian manhaj yang diberikan beliau paling kurang 1/2 jam, tapi musim exam ini Sang Murabbi berjanji akan bertaujih dalam 15 minit je... ^^

Murabbi aku bermula dengan mengutip beberapa firman Allah SWT:

"Dialah yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yanglebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Al-Mulk 67: 2)

Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman",sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.(Al-Ankabut 29: 2-3)

Kemudian beliau menyambung:

Begitulah ikhwani fillah, hidup kita di dunia ini adalah untuk diuji oleh Allah SWT. Dan ujian itu pula biasanya dalam bentuk kesusahan dan kesukaran."

"Macamlah juga dengan peperiksaan di sekolah dan universiti. Para pelajar diuji dari semasa ke semasa untuk menilai prestasi mereka. Cuba bayangkan jika peperiksaan itu terlalu senang, pasti kualiti para pelajar menjadi rendah!"

"Dalam konteks ujian Allah SWT, manusia sentiasa diuji prestasi amal mereka!Iaitu setakat mana kita menjadi hamba yang benar-benar beribadah dan menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah-Nya di bumi ini."

"Contohnya, Rasulullah SAW bersabda bahawa: Sesungguhnya Solat yang paling berat bagi orang munafiq adalah Solat Isya' dan Subuh..." (HR Bukhari dan Muslim).

"Kenapa begitu? Jawapannya ialah kerana kedua-duanya pada waktu yang sangat susah. Isya' terlalu panjang waktunya dan manusia begitu sibuk dengan aktiviti malam sehingga lupa mengerjakannya. Subuh pula kita semua maklum kesusahan untuk bangun dari tidur dan mengerjakannya."

"Maka, dengan ujian-ujian inilah manusia dibezakan mengikut prestasi amal masing-masing. Dan nanti di akhirat kelak, kita akan diganjari oleh Allah SWT berdasarkan keputusan ujian-ujian kita di dunia ini..."

"Begitulah sunnah kehidupan manusia, bermula Nabi Adam AS dan isterinya di syurga, anak-anak baginda Habil dan Qabil, para Nabi AS, malah Rasulullah SAW dan para Sahabat RA. Mereka sentiasa diuji dalam kehidupan dan dakwah mereka."

Mereka bersungguh-sungguh mengatasi semua ujian tersebut dan apabila berjaya, lahirlah para kader dakwah yang unggul dalam perjuangan seperti para Rasul AS dan Sahabat RA yang pernah kita bincangkan sebelum ini."

Kami semua mendengarnya dengan penuh perhatian. Aku lihat si Faruq yang di sebelahku itu sampai ternganga mulutnya menghayati taujih tersebut... ^^

Tiba-tiba murabbiku menepuk paha Muaz dan bertanya, "Haa,macamana pulak dalam dakwah kita ni, adakah diperlukan ikhwah-ikhwah terhebat a.k.a OSEM?!"

Muaz tergamam sejenak, namun kemudian dia menjawab,"Mestilah akhi! Kalau aktivis-aktivis OSEM, barulah dakwah berkembang pesat!"

Betul tu! Tapi, macamana nak pastikan seorang akh tu OSEM ke tak?" tanya beliau kepadaku pula. "Ermm, Kita 'test' la ikhwah tu! jawabku dengan mantap. "Tepat sekali!" puji beliau. Hatiku menjadi 'kembang' seketika... ^_~

Kemudian murabbiku bertanya lagi, "Macamana nak 'test' keOSEMan ikhwah tu? Buat exam bertulis ke Zack?" Giliran Zack pula ditanya. Beliau pun menjawab, "Boleh jugak akhi. Tak pun kita buat soal jawab dalam usrah ke..."

"Ya, ujian bertulis dan soal jawab boleh jadi satu kaedah. Tapi, itu cuma dapat uji fikrah dan kefahaman je. Macamana kalau nak uji jatidiri sebenar, kekuatan fizikal dan mental, komitmen, disiplin, ketaatan, militansi dan ithaar...contohnya?" Sang Murabbi mula mem'provoke' kami.

Hmm, wallahu a'lam! Macamana tu akhi..?" tanya Megat kepada Sang Murabbi. Megat ni memang penurut orangnya. Kalau ditanya soalan, cepat je jawab: "Wallahu a'lam..." Hoho, jangan marah ye Megat! ^_~

Murabbi kami hanya tersenyum, sambil berkata: "Sebab itulah kita ada pelbagai wasilah Tarbiyah seperti usrah, daurah, mabit, jaulah dan lain-lain. Kesemua wasilah Tarbiyah ini mempunyai peranan mentarbiyah dan di samping itu juga untuk menguji keOSEMan kita!

Macamana tu akhi?" tanya Faruq yang senyap sejak tadi.

"Contoh yang terdekat seperti mukhayyam kita hujung semester ni. Kalau antum nak tahu, di dalam mukhayyam lah keOSEMan kita teruji secara hands-on dan praktikal!" jelas Sang Murabbi sambil merenung kepadaku. Glurp, aku mula menelan air liur.



Kemudian, murabbi aku pun menyenaraikan beberapa keOSEMan yang dibina dan diuji sewaktu mukhayyam:

1. Komited berislam Walau dalam Keadaan yang Susah:


Kata Sang Murabbi, "Dalam usrah dan daurah, kita belajar Islam secara teorimya di bilik berkipas angin atau berair-cond. Sementara di mukhayyam pula kita mengaplikasikan semua teori ini secara praktikal di alam semulajadi."

"Contohnya paling mudah ialah bab Toharah. Waktu ana bermukhayyam di Gunung Nuang dulu, kami belajar berwudhu' menggunakan air-air hujan di atas daun. Kemudian bersolat di dataran terbuka di atas tanah yang basah dan melaksanakannya secara jama'."

"Kita merasai sendiri bagaimana Rasulullah SAW dan para Sahabat RA yang bersolat di Masjid Nabawi yang berlantaikan pasir dan tanah liat.Kita juga diuji untuk berusaha sedaya upaya untuk tetap berislam walau dalam kesulitan dan kepayahan. Semestinya ia merupakan pengalaman yang OSEM!"

2. Menguji Ketahanan Fizikal dan Mental:


Kata Sang Murabbi, "Ikhwani fillah, sesungguhnya Allah SWT menyukai mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah. Ini hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim."

"Mengapa seorang mukmin perlu kuat? Bukankah kita perlu beribadah, berdakwah dan berjihad untuk Allah SWT? Siapakah yang boleh melaksanakan segala tugas ini jika asyik sakit dan lemah badan?"

"Begitulah para ikhwah diuji ketahanan fizikal dan mentalnya di dalam mukhayyam! Ana masih teringat kisah seorang akh yang diuji dalam pendakian kami ke Gunung Nuang. Beliau hampir-hampir ingin berpatah balik ke kem, namun para ikhwah memberikan dorongan dan bantuan kepadanya sehinggalah beliau meneruskan sehingga tamat."

"Selepas setahun, kita adakan pula mukhayyam yang kali ini cabarannya ialah Bukit Tabur.Tahukah antum, akh tadilah yang menjadi orang-orang yang paling terkehadapan dalam pendakian kali ini! Subhanallah, betapa mukhayyam berjaya membentuk ikhwah yang OSEM sekali lagi!"

3. Menguji Ukhuwah Islamiyah dan Semangat Berkorban:

Kata Sang Murabbi, "Sekali lagi kisah di Gunung Nuang. Memang perjalanan yang memakan masa 12 jam itu sangat memenatkan, ditambah lagi hujan lebat yang turun di tengah perjalanan. Sudah pastilah para ikhwah begitu letih, lapar dan tertekan.Alhamdulillah, kami dapat merasai sedikit sahaja kesusahan dan kelaparan tentera Islam semasa Perang Tabuk."

"Di waktu itu, ada ikhwah yang sanggup mendaki sambil memikul 2, 3 beg ikhwah lain yang keletihan. Ada ikhwah memimpin akh yang tercedera sambil mendaki. Malah ketika makanan dibuka, masing-masing menyerbu kerana kelaparan. Dan ada ikhwah yang berpuas hati hanya dengan sekeping roti agar saudaranya yang lain kenyang."

"Subhanallah, ukhuwah dan pengorbanan ini tidak akan teruji jika bukan di mukhayyam!"

4. Simulasi Disiplin, Tsiqah dan Ketaatan:


Kata Sang Murabbi, "Dalam mukhayyam, kita buat modul-modul yang mencabar bukanlah untuk bersuka-suka dan mencari kepuasan. Sebaliknya, setiap modul terdapat objektif-objektif yang ingin dicapai."

"Melalui modul dan games inilah kita menyedari keadaan disiplin seorang ikhwah. Kadang-kadang kita lihat seorang itu mantap ilmu dan fikrahnya, namun di dalam mukhayyam akan terserlahlah keperibadian sebenar yang kurang berdisiplin, tidak boleh diorganisasikan dan kurang ketaatannya."

"Maka selepas itu, murabbinya akan memfokuskan beberapa kekurangan ini untuk dibina dan ditingkatkan dengan lebih intensif selepas itu. Jadi, mukhayyam memberikan nilai tambah yang besar terhadap keOSEMan diri seorang akh!"

5. Mengukuhkan Taaruf, Tafahum dan Takaful:


Kata Sang Murabbi, "Sangat berbeza hubungan di antara ikhwah sebelum dan selepas mukhayyam! Kita dapat lihat betapa 'gap' yang selama ini merintangi antara murabbi dan mutarabbi, atau sesama ikhwah akan segera hilang!"

"Kita dapat kenal ikhwah secara mendalam. Kita boleh tahu dia orang bandar atau orang kampung, anak bongsu atau anak sulong, kuat mental atau lemah, dan sebagainya... Semua ini akan memudahkan proses saling memahami dan memperkuatkan antara satu sama lain!

"InsyaAllah, setelah kita berlari bersama, mendaki bersama, memanjat bersama, mengangkat bersama, meniti bersama, berguling bersama, memasak bersama, mandi sungai bersama, berhimpit-himpit di khemah bersama... walau hanya dalam 4 hari, pasti ikatan ukhuwah sangat erat dan kukuh!"

"Jadi, kesimpulannya ikhwani fillah, Mukhayyam akan menjadikan antum OSEM! Dan ikhwah yang OSEM, pasti PERGI Mukhayyam!!!"



[Selang 2 minggu]

Aku keluar dari dewan peperiksaan dengan hati yang lapang. Alhamdulillah, aku berjaya menjawab semua soalan. Semoga Allah SWT memberikan keputusan yang terbaik bagiku.

"Hey, Azri! Ko balik kampung bila? Jom kita lepak-lepak dulu kat sini, enjoy!!!" kata rakanku Ahmad, sambil menepuk bahuku dari belakang.

Aku berpaling, tersenyum dan menjawab mantap, "Sorilah Mat, mulai esok hingga khamis ni... aku pergi Mukhayyam!!"

Ya, aku akan pergi Mukhayyam kali ini! Terima kasih murabbiku yang menyedarkan aku kepentingan mukhayyam. Aku merasakan banyak perkara OSEM akan berlaku di mukhayyam ini, insyaAllah.

Jika ditanya, kenapa aku nak pergi mukhayyam?

Pasti akan kujawab, "Ikhwah yang OSEM, mestilah pergi Mukhayyam!!!" \(^_^)/

Wallahu a'lam...

Cerpen ini ditulis sempena mukhayyam Pemuda IPT IKRAM Gombak yang akan diadakan pertengahan bulan ini. Semoga menaikkan semangat kita semua untuk bermukhayyam. 

Jzkk kerana sudi membaca...

Jom pi Mukhayyam!

Pak_Anjang  – (May 6, 2014 at 5:42 PM)  

Alhamdulillah, tahniah...anta cepat sedar & ingin berubah. Moga thabat di jalan ini. Amin.

Post a Comment

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP