Powered by Blogger.

[Refleksi] Berkira dengan Tarbiyah.



Di sebuah tamrin IPT, mas'ul program sedang membuat pengumuman.

"Perhatian kepada semua peserta, yuran tamrin dua hari satu malam kali ni ialah RM10. Mohon dibayar kepada akhi M segera ya."

"Hah, RM10? Mahalnya bang! Kami ni student lagi." rungut para peserta setelah diberitahu berkenaan yuran program tersebut.  

"Bang, boleh kurang sikit? RM5 ke..." yang lain pula berkata dengan wajah sayu... Terharu pula si mas'ul mendengarnya.

-------------------------------------------------

Di ketika yang lain, seorang Murabbi sedang mempromosikan sebuah buku tarbiyah yang akan digunakan dalam halaqahnya:

"Baiklah ikhwah sekalian, insyaAllah mula minggu depan kita akan bedah buku ini dalam halaqah. Minta antum dapatkan segera dan sila baca bab 1 sebelum liqa' minggu depan." 

"Err, akhi... ada versi softcopy tak? Hehe, nak beli takda duit." jawab seorang mutarabbi, ahli halaqah yang lain pula tersengih sambil mengangguk-angguk.

Sang Murabbi membelek harga buku di tangannya, RM10.  

-------------------------------------------------

Di sebuah kelas yang boleh muat seramai 40 orang. Suasana sunyi, kelihatan seorang muwajjih duduk di meja depan sambil memperkemaskan 'slide' presentasinya. Di hadapannya ada lebih kurang 3 orang ikhwah dan 5 orang akhawat. 

Pengerusi daurah pula melihat-lihatnya jamnya. "Dah, pukul 2.30petang." detiknya di dalam hati. Dia membuka mesej hebahan di hanset, "Salam. Daurah kita esok akan bermula pukul 2 petang di..."

Dari jauh kelihatan dua orang ikhwah. Sambil berjalan lemah gemalai dan berborak riang, mereka menuju ke tempat daurah. "Fuhh..." pengerusi mengeluh kecil. 

-------------------------------------------------

Berkira Betul Kita ni ye?

Saya tak pasti jika fenomena ini meluas atau hanya berlaku di tempat-tempat tertentu sahaja, Namun, baiklah kiranya jika kita renungkan sedikit betapa "double standard" dan berkira-kiranya kita kepada Tarbiyah.

Harga burger Bakar Kaww-kaww yang sampai berbelas ringgit tu relax je kita bayar. Tapi, bila yuran program tarbawi berkira-kira pula. 

Cuba fikir balik, cukupkah RM10 itu untuk makan 5 kali, ditambah lagi dengan pengisian ilmu, fikrah dan pembinaan jatidiri Rabbani? Tak kira lagi nota dan handouts yang di'print' guna duit infaq abang kakak senior.

-------------------------------------------------

Bila masuk semester baru, berapa ratus ringgit dibelanjakan untuk beli buku teks. Alhamdulillah, tahniah di atas semangat belajar yang tinggi itu. 

Tapi, kenapa bila dengan buku-buku tarbawi semua nak cari 'softcopy'? Sedangkan harga buku-buku ini relatifnya sangat boleh diusahakan. Kemudian, boleh gunakannya sehingga ke anak cucu sebagai bekal tafaqquh fiddin yang insyaAllah berkekalan sehingga ke akhirat.

Satu lagi, buku nota halaqah pun takda. Datang dengar halaqah berlenggang je. Nasib baik pakai smartphone yang boleh install Quran tu. Bersungguhkah kita di jalan Tarbiyah ini?

-------------------------------------------------

Fenomena terakhir ni, kena dilihat bersama apabila berlangsung program 'hi-impact' atau program formal yang melibatkan publisiti besar dan VIP. Sejak 45 minit awal lagi semuanya dah terpacak menunggu dengan pakaian serba kemas dan kacak. 

Peserta pun diarahkan memenuhi ruang tempat duduk di hadapan dan diterangkan protokol sepanjang program. Semua mengangguk-angguk mematuhinya.

Bagaimana pula kita dengan program tarbawi? Terlewat setengah jam itu kira biasa. Lebih-lebih lagi jika muwajjih tersebut hanya abang atau kakak senior saja. Sangat kurang rasa penghargaan kita kepada mereka yang bersengkang mata 'prepare' bahan agar dapat disampaikan dengan terbaik.

Itu tidak kira muwajjih/ah yang terpaksa mengambil masa sejam untuk tiba di tempat program. Tulus ikhlas menyampaikan fikrah dan tarbiyah, tanpa meminta apa-apa bayaran, sekadar mengharapkan doa dan ucapan berkah jazakallahu khairan jaza' oleh pihak penganjur. 

-------------------------------------------------

Refleksi untuk Diri.

Entri ini khusus kepada diri saya sendiri, bukannya orang lain. Sebagai sebuah refleksi dalam mengharungi jalan mujahadah dan tadhiyah ini. 

Kadang-kadang saya terlalu berkira-kira dengan Allah SWT. Sedang sudah banyak nikmat yang diberikan-Nya, antaranya yang paling agung adalah terselitnya nama kecil ini di salah satu gerabak panjang di jalan-Nya.

Semoga saya sentiasa ingat janji Allah SWT dalam firman-Nya:

"...Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)." (Al-Anfal 8: 60)


Seterusnya, semoga saya dijauhi rasa tersangat berjasa kepada dakwah ini. Sedangkan, sayalah yang tersangat beruntung dengan penggabungan ini. 

Firman Allah SWT:

Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: "Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dia-lah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar".  (Al-Anfal 49: 17)

Post a Comment

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP