Powered by Blogger.

[Ibrah] Tarbiyah yang 'Merakyat'



Gerakan atau Jemaah Tarbiyah hari ini lebih sinonim dengan gerakan intelektual dan terpelajar. Sehingga kekadang para Murabbi atau Muwajjih ini dilihat elit dan kurang mampu 'merakyatkan' nilai tarbawi kepada masyarakat umum.

Biasa berlaku ikhwah yang sangat 'perform' tatkala menyampaikan taujihat dalam halaqah, daurah atau katibah, namun tidak mampu melakukan perkara yang sama terhadap masyarakat umum.

Mensosialisasikan tarbiyah dan fikrah kepada masyarakat memang mencabar, mungkin kita boleh belajar kaedah seorang tabiin agung Atha’ bin Abi Rabah Rahimullah.

.............................

Atha’ adalah seorang tabiin berbangsa Habsyi (Negro) dan pernah menjadi hamba kepada salah seorang wanita penduduk kota Makkah. Beliau memimpin halaqah besar di Masjidil Haram, di mana Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik juga sering menghadiri halaqahnya.

Beliau dimerdekakan kerana kecerdasan dan kesungguhannya mendalami ajaran Islam. Keteladanan beliau sebagai Murabbi adalah di dalam kelembutan dan ketajaman nasihatnya. Sehingga kemampuan beliau mentarbiyah bukan terbatas pada golongan terpelajar sahaja, namun juga kepada seorang tukang cukur, seperti dikisahkan oleh Imam Abu Hanifah Rahimahullah:

“Aku melakukan kesalahan dalam 5 perkara tentang Manasik Haji, lalu aku diajarkan oleh seorang tukang cukur, iaitu:

Ketika aku selesai dari ihram, aku mendatangi salah seorang tukang cukur, lalu aku berkata kepadaanya,"Berapa harganya?” 

“Semoga Allah menunjukimu, ibadah tidak mensyaratkan soal harga, duduk sajalah dulu, soal harga itu mudah” jawab tukang cukur.

Ketika itu, aku duduk tidak menghadap kiblat, lantas dia mengarahkan dudukku hingga menghadap kiblat. Kemudian aku menunjukkan bahagian kiri kepalaku, lalu dia memutarnya sehingga mulai mencukur kepalaku dari sebelah kanan.

Ketika aku dicukur dia melihatku diam, lalu dia menegurku, Kenapa diam saja, perbanyakkanlah takbir”, maka akupun bertakbir. Setelah selesai aku hendak terus pergi, lalu dia berkata, Mahu ke mana kamu?, “Aku mahu ke kendaraanku.” jawabku, tukang cukur itu mencegahku sambil berkata, “Solat dulu dua rakaat, baru kau boleh pergi ke mana kau suka.”  

Aku berkata dalam hati, tidak mungkin seorang tukang cukur seperti ini jika bukan dia seorang alim, lalu aku berkata kepadanya,“Dari mana kamu dapati mengenai beberapa manasik yang kau perintahkan kepadaku’?

“Demi Allah aku melihat Atha’ bin Abi Rabah melakukan hal itu, lalu aku mengikutinya, dan aku arahkan orang ramai untuk belajar kepadanya”, jawab tukang cukur yang alim itu.”

.............................

Begitulah teladan seorang murabbi yang mampu 'merakyatkan' tarbiyahnya. Adakah tarbiyah dan dakwah kita sudah merakyat? Atau hanya berlegar-legar di kalangan kelompok 'elit' sahaja?

Wallahu a'lam.

Post a Comment

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP