Powered by Blogger.

Dakwah Kita, Dakwah Eksklusif?

Dalam buku 100 Pelajaran dari Para Pemimpin Ikhwanul Muslimin, pengarangnya Syeikh Muhammad Abdul Halim Hamid mengungkapkan sebuah kisah menarik.



Suatu ketika, Imam Hasan al-Banna berkunjung ke daerah Souhaj. Selesai muktamar, beliau diundang makan. Dalam jamuan makan ini salah seorang ikhwah duduk di sebelahnya.

Akh ini berharap kesempatan tersebut dapat dimanfaatkan untuk membisikkan perkara penting ke telinga Imam al-Banna. Dia pun berkata:

"Ya Ustaz. Sesungguhnya dakwah tidak dinilai dengan kuantiti, tetapi dengan kualiti. Bagaimana jika kita buat beberapa ukuran (dhawabith) bagi orang-orang yang ingin mendaftar (intisab)? 

Misalnya, kita tentukan dhawabith tertentu seperti tsaqafah Islamiyah yang mereka pelajari, dan mereka tetap berada dalam peringkat intisab, dalam proses pemilihan selama beberapa lama, kemudian orang yang layak di antara mereka barulah berpindah ke peringkat aktivis."

Sambil tersenyum Imam Syahid berkata:

"Wahai Fulan, apakah kamu menginginkan dariku apa yang tidak diinginkan Allah daripada para Nabi dan Rasul-Nya, padahal mereka adalah orang-orang pilihan di antara makhluk-Nya.

Sesungguhnya dakwah kita untuk semua manusia dan bukan untuk kelompok tertentu sahaja. Dalam dakwah ini, semua orang yang ingin berkhidmat kepada Islam betapapun kedudukan dan pengetahuannya, berhak mendapatkan tarbiyah. Setiap orang dimudahkan kepada misi khusus penciptaannya."

--------------------------

Syeikh Muhammad Abdul Halim Hamid menyambung lagi:

[ Siapa tahu bahawa dakwah ini kemudiannya menghadapi tribulasi berat, di mana jumlah pejuang sejati dapat dihitung dengan jari.

Berbagai tribulasi berat itu pun tiba, dan orang-orang yang teruji ketegarannya ternyata ramai di kalangan orang-orang yang kita anggap sebagai orang-orang rendah kedudukan dan pengetahuannya. Tetapi mereka berakhlak dengan berbagai akhlak para pahlawan lalu mereka menepati apa yang pernah mereka ikrarkan kepada Allah. 

Sedangkan para pemilik tsaqafah yang luas dan orang-orang "excellent" itu berguguran (dari jalan dakwah ini). Milik Allah semua urusan pada makhluk-Nya. ]

--------------------------

Sentap! Ternyata dakwah ini tidak terhad kepada golongan terpelajar sahaja. Cukuplah keinginan mad'u untuk berubah dan berkehendakkan pada pembinaan diri. Moga surah 'Abasa jadi pengajaran berguna buat kita semua. (^_^)v

Read more...

[Ibrah] Tarbiyah yang 'Merakyat'



Gerakan atau Jemaah Tarbiyah hari ini lebih sinonim dengan gerakan intelektual dan terpelajar. Sehingga kekadang para Murabbi atau Muwajjih ini dilihat elit dan kurang mampu 'merakyatkan' nilai tarbawi kepada masyarakat umum.

Biasa berlaku ikhwah yang sangat 'perform' tatkala menyampaikan taujihat dalam halaqah, daurah atau katibah, namun tidak mampu melakukan perkara yang sama terhadap masyarakat umum.

Mensosialisasikan tarbiyah dan fikrah kepada masyarakat memang mencabar, mungkin kita boleh belajar kaedah seorang tabiin agung Atha’ bin Abi Rabah Rahimullah.

.............................

Atha’ adalah seorang tabiin berbangsa Habsyi (Negro) dan pernah menjadi hamba kepada salah seorang wanita penduduk kota Makkah. Beliau memimpin halaqah besar di Masjidil Haram, di mana Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik juga sering menghadiri halaqahnya.

Beliau dimerdekakan kerana kecerdasan dan kesungguhannya mendalami ajaran Islam. Keteladanan beliau sebagai Murabbi adalah di dalam kelembutan dan ketajaman nasihatnya. Sehingga kemampuan beliau mentarbiyah bukan terbatas pada golongan terpelajar sahaja, namun juga kepada seorang tukang cukur, seperti dikisahkan oleh Imam Abu Hanifah Rahimahullah:

“Aku melakukan kesalahan dalam 5 perkara tentang Manasik Haji, lalu aku diajarkan oleh seorang tukang cukur, iaitu:

Ketika aku selesai dari ihram, aku mendatangi salah seorang tukang cukur, lalu aku berkata kepadaanya,"Berapa harganya?” 

“Semoga Allah menunjukimu, ibadah tidak mensyaratkan soal harga, duduk sajalah dulu, soal harga itu mudah” jawab tukang cukur.

Ketika itu, aku duduk tidak menghadap kiblat, lantas dia mengarahkan dudukku hingga menghadap kiblat. Kemudian aku menunjukkan bahagian kiri kepalaku, lalu dia memutarnya sehingga mulai mencukur kepalaku dari sebelah kanan.

Ketika aku dicukur dia melihatku diam, lalu dia menegurku, Kenapa diam saja, perbanyakkanlah takbir”, maka akupun bertakbir. Setelah selesai aku hendak terus pergi, lalu dia berkata, Mahu ke mana kamu?, “Aku mahu ke kendaraanku.” jawabku, tukang cukur itu mencegahku sambil berkata, “Solat dulu dua rakaat, baru kau boleh pergi ke mana kau suka.”  

Aku berkata dalam hati, tidak mungkin seorang tukang cukur seperti ini jika bukan dia seorang alim, lalu aku berkata kepadanya,“Dari mana kamu dapati mengenai beberapa manasik yang kau perintahkan kepadaku’?

“Demi Allah aku melihat Atha’ bin Abi Rabah melakukan hal itu, lalu aku mengikutinya, dan aku arahkan orang ramai untuk belajar kepadanya”, jawab tukang cukur yang alim itu.”

.............................

Begitulah teladan seorang murabbi yang mampu 'merakyatkan' tarbiyahnya. Adakah tarbiyah dan dakwah kita sudah merakyat? Atau hanya berlegar-legar di kalangan kelompok 'elit' sahaja?

Wallahu a'lam.

Read more...

[Refleksi] Berkira dengan Tarbiyah.



Di sebuah tamrin IPT, mas'ul program sedang membuat pengumuman.

"Perhatian kepada semua peserta, yuran tamrin dua hari satu malam kali ni ialah RM10. Mohon dibayar kepada akhi M segera ya."

"Hah, RM10? Mahalnya bang! Kami ni student lagi." rungut para peserta setelah diberitahu berkenaan yuran program tersebut.  

"Bang, boleh kurang sikit? RM5 ke..." yang lain pula berkata dengan wajah sayu... Terharu pula si mas'ul mendengarnya.

-------------------------------------------------

Di ketika yang lain, seorang Murabbi sedang mempromosikan sebuah buku tarbiyah yang akan digunakan dalam halaqahnya:

"Baiklah ikhwah sekalian, insyaAllah mula minggu depan kita akan bedah buku ini dalam halaqah. Minta antum dapatkan segera dan sila baca bab 1 sebelum liqa' minggu depan." 

"Err, akhi... ada versi softcopy tak? Hehe, nak beli takda duit." jawab seorang mutarabbi, ahli halaqah yang lain pula tersengih sambil mengangguk-angguk.

Sang Murabbi membelek harga buku di tangannya, RM10.  

-------------------------------------------------

Di sebuah kelas yang boleh muat seramai 40 orang. Suasana sunyi, kelihatan seorang muwajjih duduk di meja depan sambil memperkemaskan 'slide' presentasinya. Di hadapannya ada lebih kurang 3 orang ikhwah dan 5 orang akhawat. 

Pengerusi daurah pula melihat-lihatnya jamnya. "Dah, pukul 2.30petang." detiknya di dalam hati. Dia membuka mesej hebahan di hanset, "Salam. Daurah kita esok akan bermula pukul 2 petang di..."

Dari jauh kelihatan dua orang ikhwah. Sambil berjalan lemah gemalai dan berborak riang, mereka menuju ke tempat daurah. "Fuhh..." pengerusi mengeluh kecil. 

-------------------------------------------------

Berkira Betul Kita ni ye?

Saya tak pasti jika fenomena ini meluas atau hanya berlaku di tempat-tempat tertentu sahaja, Namun, baiklah kiranya jika kita renungkan sedikit betapa "double standard" dan berkira-kiranya kita kepada Tarbiyah.

Harga burger Bakar Kaww-kaww yang sampai berbelas ringgit tu relax je kita bayar. Tapi, bila yuran program tarbawi berkira-kira pula. 

Cuba fikir balik, cukupkah RM10 itu untuk makan 5 kali, ditambah lagi dengan pengisian ilmu, fikrah dan pembinaan jatidiri Rabbani? Tak kira lagi nota dan handouts yang di'print' guna duit infaq abang kakak senior.

-------------------------------------------------

Bila masuk semester baru, berapa ratus ringgit dibelanjakan untuk beli buku teks. Alhamdulillah, tahniah di atas semangat belajar yang tinggi itu. 

Tapi, kenapa bila dengan buku-buku tarbawi semua nak cari 'softcopy'? Sedangkan harga buku-buku ini relatifnya sangat boleh diusahakan. Kemudian, boleh gunakannya sehingga ke anak cucu sebagai bekal tafaqquh fiddin yang insyaAllah berkekalan sehingga ke akhirat.

Satu lagi, buku nota halaqah pun takda. Datang dengar halaqah berlenggang je. Nasib baik pakai smartphone yang boleh install Quran tu. Bersungguhkah kita di jalan Tarbiyah ini?

-------------------------------------------------

Fenomena terakhir ni, kena dilihat bersama apabila berlangsung program 'hi-impact' atau program formal yang melibatkan publisiti besar dan VIP. Sejak 45 minit awal lagi semuanya dah terpacak menunggu dengan pakaian serba kemas dan kacak. 

Peserta pun diarahkan memenuhi ruang tempat duduk di hadapan dan diterangkan protokol sepanjang program. Semua mengangguk-angguk mematuhinya.

Bagaimana pula kita dengan program tarbawi? Terlewat setengah jam itu kira biasa. Lebih-lebih lagi jika muwajjih tersebut hanya abang atau kakak senior saja. Sangat kurang rasa penghargaan kita kepada mereka yang bersengkang mata 'prepare' bahan agar dapat disampaikan dengan terbaik.

Itu tidak kira muwajjih/ah yang terpaksa mengambil masa sejam untuk tiba di tempat program. Tulus ikhlas menyampaikan fikrah dan tarbiyah, tanpa meminta apa-apa bayaran, sekadar mengharapkan doa dan ucapan berkah jazakallahu khairan jaza' oleh pihak penganjur. 

-------------------------------------------------

Refleksi untuk Diri.

Entri ini khusus kepada diri saya sendiri, bukannya orang lain. Sebagai sebuah refleksi dalam mengharungi jalan mujahadah dan tadhiyah ini. 

Kadang-kadang saya terlalu berkira-kira dengan Allah SWT. Sedang sudah banyak nikmat yang diberikan-Nya, antaranya yang paling agung adalah terselitnya nama kecil ini di salah satu gerabak panjang di jalan-Nya.

Semoga saya sentiasa ingat janji Allah SWT dalam firman-Nya:

"...Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)." (Al-Anfal 8: 60)


Seterusnya, semoga saya dijauhi rasa tersangat berjasa kepada dakwah ini. Sedangkan, sayalah yang tersangat beruntung dengan penggabungan ini. 

Firman Allah SWT:

Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: "Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dia-lah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar".  (Al-Anfal 49: 17)

Read more...

[Taujih] Jalan yang Satu Ini...

Bismillahirrahmanirrahim.

Apa khabar hatimu wahai saudaraku? 

Semoga ia terus bersinar dengan gemerlapan cahaya iman, disirami basahnya zikrullah dan hangatnya mahabbatullah. Seperti hati-hati yang digambarkan oleh Allah sebagai hati yang bercahaya dan menyinari manusia dengan cahayanya. 

Firman Allah Taala:

"...dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia..."
(Al-An'am 6: 122)

Janji Si Iblis.





Mari kita mengimbas kembali tatkala Iblis menderhakai Allah Taala ketika diperintahkan sujud kepada datuk kita, Adam AS. Ketika ia enggan, maka berlakulah dialog ini.


Allah berfirman: "Turunlah kamu dari surga itu; karena kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina".

Iblis menjawab: "Beri tangguhlah aku sampai waktu mereka dibangkitkan". Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh."


Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang luruskemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."  


(Al-A'raf 7: 13-17)

Jalan Lurus Yang Bersimpangan.

Saudaraku yang tercinta, sesungguhnya Jalan yang Lurus ini,  bukannya tiada persimpangan yang mampu menyesatkan kita. 

Imam Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melukis satu garisan dengan tangannya di atas tanah, kemudian baginda bersabda, "Ini adalah jalan Allah yang lurus."

Dan Rasulullah SAW melukis pula garisan di kanan dan kirinya, lalu baginda bersabda, "Ini adalah jalan-jalan yang tiadalah darinya satu jalan melainkan di atasnya terdapat syaitan di jalannya."  

Kemudian, Rasulullah membacakan firman Allah Taala:

"Dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa."
(Al-An'am 6: 153)

Terus Tsabat di Jalan yang Lurus.

Saudaraku yang terkasihi,

Bersolat setiap hari, di dalam Al-Fatihah kita sentiasa meminta ditunjukkan Jalan yang Lurus (Ihdinasshirotal mustaqim). Dan diselamatkan daripada mengikuti jalan-jalan yang bersimpang-siur lain yang menyesatkan kita daripada petunjuk-Nya. 

Ini menunjukkan bahawa untuk terus tsabat di jalan-Nya, tiada seorangpun yang boleh mendabik dada mengaku bahawa dia pasti akan kekal tidak terpesong. Hanya Allah Taala yang mampu menjaga Jalan-Nya ini dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya."    
(Al-Hijr 15: 41)

Untuk tsabat juga, kita perlu kembali kepada petunjuk-Nya iaitu Al-Quran yang mulia. Ini kerana Al-Quran adalah cahaya yang mampu menerangi manusia daripada kegelapan zhulumat kepada Jalan yang Lurus dan terang benderang. 

Firman Allah Taala:

"...akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus."



(As-Syura 42: 52)
Penutup.

Begitulah saudaraku, sebagai penutup taujih ringkas ini, marilah kita mentadabbur ayat 'power' ini. Firman Allah Taala:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."
(As-Syura 5: 35)

Tadabbur

1. Kita perlu beriman kepada Allah serta berusaha mencapai tingkat taqwa, kerana itulah kemuliaan sebenar seorang manusia di sisi-Nya.

2. Untuk mencapai taqwa, kita perlukan wasilah (medium) yang mampu mentarbiyah jiwa, nafsu dan akal agar sentiasa selari dengan tuntutan-Nya. Wasilah ini boleh jadi pelbagai, contohnya mencari ilmu agama, melakukan amal soleh, zikrullah, membaca Al-Quran, berdakwah dan sebagainya.


3. Setelah kita bertemu dengan wasilah-wasilah yang mampu menghantar kita kepada-Nya, maka berjuanglah bersungguh-sungguh di jalan tersebut. Kita tidak akan mampu kecuali setelah bermujahadah dan melalui sokongan rakan-rakan yang ikhlas membantu.


Moga kita semua diberikan rezeki untuk terus tsabat di Jalan ini. Seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:

"Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnatibaa'ah. Wa arinal baathila baathilan, warzuqnajtinabah."
"Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran sebagai Al-Haq, dan rezekikanlah kami agar dapat mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami Kebatilan sebagai Al-Bathil, dan rezekikanlah kami agar dapat meninggalkannya."

Wallahu a'lam. 

Read more...

Senyum-senyum Murabbiku

Bismillahirrahmanirrahim...


'Tribute' kepada para Murabbi, moga terus senyum-senyum ye! ^__^ 

---------------------------------------------------

Senyum-senyum Si Murabbi
Basah lencun ke liqa' menunggang
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Err, ada ana seorang je bang.

Senyum-senyum Si Murabbi
Sebab tugasan semua dah bagi
Senyum-senyum Si Mutarabbi 
Eh, ana ke present minggu ni? lol

Senyum-senyum Si Murabbi
Tiba-tiba datang bertandang, 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Alahai bilik dah macam tongkang.

Senyum-senyum Si Murabbi
Beria-ria ajak ke program 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Afwan, sepupu ana masuk UiTM...

Senyum-senyum Si Murabbi
Dah hebat bertaujih gitu-gini 
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Apa la naqib nak cita ni... ???

Senyum-senyum Si Murabbi
Walau hanya Tuhan yang mengetahui
Senyum-senyum Si Mutarabbi
Moga kau sudilah memahami... 

Senyum! 
Enjoy the seriousness! ^__^


Read more...

Selamanya Sang Mutarabbi...

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebuah refleksi khusus buat diriku sendiri, moga terus istiqamah menjadi Sang Mutarabbi; walaupun selalu 'cuba-cuba berlagak pandai' sebagai Sang Murabbi...




Apa itu Tarbiyah? 

Jika ditanya, pasti lidah kau fasih mengeluarkan segala definisi para ulama tentang Tarbiyah. Maka, keluarlah segala istilah-istilah 'bombastik' lagi 'haraki' yang memang sudah sebati di dalam jiwamu itu.

Maklumlah, sudah lama kau bergelumang di medan tarbiyah mentarbiyah ini...

Namun, kubertanya pada dirimu sendiri... jujurnya apakah erti Tarbiyah itu bagimu? Jawablah dengan jiwa dan perasaanmu sendiri! 

-----------------------------------------

Aku menerawang jauh di sudut hati. Kubelek-belek kotak memori. Lalu terpampanglah imej-imej para murabbi dan mutarabbiku, ketenung sedalamnya wajah-wajah bersih mereka...

Lalu kulihat diriku ketika bersama mereka. Aku masih baru dalam suasana sebegini, begitu muda... begitu hijau. Duduk dalam liqa' dengan khusyuk, mendengar penuh inquiri tentang fikrah ini, tentang jalan ini dari Sang Murabbi.

Aku melihat diriku begitu bersemangat dengan suasana baru yang kukecapi ini. Kehangatan 'salam peluk', kemanisan senyuman mereka, keindahan ukhuwah dan keikhlasan cinta mereka...

Kulihat juga minatku pada buku-buku Islami makin menebal. Jika ada buku baru yang direkomendasi, terus kusambar untuk dibeli. Jika kekurangan dana, tak jarang kufotokopi... Walaupun tebalnya jadi dua kali ganda, aku tak peduli! Yang penting, hausnya ilmu itu dapat kupenuhi.

Kulihat diri mula merapati dengan Al-Quran. Jika dulu, hanya buku Yaasin sahaja kutatapi pada setiap malam Jumaat, tapi kudapati diriku mulai menerokai helaian-helaian yang lebih tebal dari itu...

Kulihat diriku terkial-kial belajar Qiamullail. Maklumlah, murabbi mula bertanya-tanya di dalam liqa'. Hampir pening aku memikirkan bagaimanalah nak dapat bangun Qiam waktu itu... Bermacam-macam cara aku gunakan... (aku tersenyum)

Fuhh, inilah dunia baruku!

-----------------------------------------
Kebosanan.

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari...

Lama kelamaan kulihat dudukku dalam liqa' mulai terawang-awangan. Tak jarang aku melihat jam. Kebosanan mula menyelinap... memerangkap kalbuku.

Kulihat saat-saat kemalasan melandaku. Ku tak endahkan sms mereka. 'Missed called' mereka perkara biasa. Paling malas, kututup henset...

Tilawah. Solat berjemaah. Qiamullail. Mulai surut dari hati. Spiritnya sudah lari.

Eh, apa dah jadi ni?

-----------------------------------------

Kerapkali Ukhuwah Menyelamatkan.

Kulihat Sang Murabbi tak putus-putus memotivasi. Bersabar dengan kebosanan dan kemalasanku. Senyuman tak pernah putus. Tak pernah marah. Tak pernah naikkan suara. 

Hanya nasihat dan taujih dari hati. Getarannya kurasai hingga ke hari ini... Saudara-saudara yang lain juga tak putus-putus mendatangi, menziarahi... membawa harapan yang tinggi-tinggi...

Lalu, aku pun kembali! Ya, kini dengan penuh tekad waja di hati. Kuberjanji akan terus berbakti, demi fikrah dan jalan ini. 

-----------------------------------------

Masa berlalu, perananku juga sudah bertukar. Kulihat diriku mula mempunyai 'bulatan sendiri'. Membawa adik-adik mutarabbi. Ku asuh mereka penuh harapan, demi mengisi kekosongan gerabak perjuangan.

Ku melihat diriku mula bertaujih di hadapan orang lain. Berkongsi kefahaman dan pengalaman. 

Ada yang berkerut muka, ada yang wajah bercahaya (macam cite kartun, watak yang baru dapat pencerahan tu..), ada yang mengangguk-angguk kepala, dan tak kurang yang kepalanya dah di atas meja.

Kulihat adik-adik yang bersemangat! Bermacam-macam idea, cadangan dan kritikan dihadapkan. Kelihatan aku tersenyum. Terus melayan mereka, walau kadang-kadang seperti agak kebosanan... Tak ku endahkan, mereka terus kulayan.

-----------------------------------------

Eh, jadi apa itu Tarbiyah? Menerawang pulak kau ni!

Oklah, bagi aku Tarbiyah ini adalah Kehidupan! Ia ibarat udara, aku akan 'mati' tanpa menghirupnya. Tanpa Tarbiyah hidupku akan kosong, tiada nilai yang bererti. 

Tarbiyah adalah sebuah proses kematangan, proses menuju kesempurnaan! Maksudku bukan sempurna macam malaikat... tanpa sebagai manusia! Aku masih belajar menjadi dewasa, dan tak pernah selesai belajar...

Ya, Tarbiyah adalah sebuah proses pendewasaan, kematangan dan kesempurnaan sebagai seorang manusia... yang masih tersalah, tersilap... tapi tetap mahu berubah jadi hebat!

Aku sentiasa mahu jadi Sang Mutarabbi. Sentiasa memerlukan Tarbiyah. Hinggalah masanya tiba, untuk menunaikan janji kita sebagai manusia... kembali kepada-Nya.

...maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan... 

... kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur- angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan (muda) dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai nyanyuk, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya... 

...Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.

(Al-Hajj 22: 5)

Wallahu a'lam...

Moga aku terus tsabat!

Read more...

[Tips] Ayat 'Power' buat Sang Murabbi


Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam Al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat 'power'... malah kesemuanya pasti 'power'!! Hari ini, saya ingin berkongsi satu ayat 'power' yang dapat menjadi bekalan asasi dalam karier kita sebagai Murabbi, insyaAllah.

Mudah-mudahan prestasi kemurabbian kita akan lebih 'power'!! ^^

Firman Allah SWT:


"Sesungguhnya kamu telah didatangi seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri. Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu dan dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu dan dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin." 
(At-Taubah 9 :128)

-------------------------------------------

Jom Tadabbur!

"...kamu telah didatangi seorang Rasul..."

Ayat ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW sendiri yang mendatangi penduduk Makkah bagi menyebarkan Islam. 

Awalnya baginda mendatangi kaum keluarga terdekat dan sahabat handai yang dipercayai. Kemudian di era terbuka, hampir tiada rumah yang tidak didatangi oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW hanya berdua sahaja bersama Zaid bin Harithah keluar menuju Thaif bagi menemui mad'unya di sana. Walaupun hasilnya hanya seorang hamba bernama Addas sahaja yang beriman.

Kita juga melihat kegigihan baginda yang menguak khemah-khemah di musim haji menerangkan tentang Islam, satu persatu walaupun ditolak. Akhirnya, dakwah baginda diterima baik oleh jemaah dari Yathrib yang kemudiaannya menjadikan asas Daulah pertama di Madinah.

Tips 1: Sang Murabbi yang mula mendatangi mutarabbi, bukan sebaliknya. Oleh itu, walau sesibuk manapun Sang Murabbi, kita yang perlu mencari masa dan sebab untuk menemui mereka.

-------------------------------------------

"...seorang Rasul dari kalangan diri kamu sendiri..."

Rasulullah SAW bukanlah seorang yang 'asing' di kalangan penduduk Makkah. Beliau telah dikenali sebagai  seorang pemuda yang jujur, amanah, cerdik dan berbudi pekerti yang luhur. Beliau digelar "Al-Amin."

Hubungan ini bukan setakat pengenalan secara fizikal, malah menerobosi jiwa dan perasaan mad'unya. Berkata Syed Qutb rahimahullah:

"Dalam ayat ini Allah tidak mengatakan "telah datang seorang Rasul dari kamu (minhum)" malah Dia mengatakan "dari kalangan diri kamu (min anfusikum)" kerana ungkapan ini lebih peka dan lebih mendalam hubungannya serta lebih memperlihatkan semacam hubungan yang rapat yang mengikat mereka dengan baginda, iaitu baginda adalah sebahagian dari diri mereka yang mempunyai hubungan jiwa yang lebih mendalam dan lebih peka." 
(Fi Zhilalil Qur'an)

Tips 2: Sang Murabbi tidak boleh terlalu 'asing' dengan mutarabbi. Sebaliknya kita perlu 'hidup - mu'ayasyah' bersama  mereka, sehingga akan menumbuhkan hubungan yang akrab dan kecintaan dalam jiwa. Kita menjadi sebahagian daripada hidup mereka!

-------------------------------------------

"...Dia sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang dialami kamu..."
  
Peribadi Rasulullah SAW peka terhadap situasi dan kesusahan umatnya. Jika ditelusuri sirah nabawiyah, kita pasti akan bertemu pelbagai kisah keprihatinan baginda terhadap para Sahabat RA. 

Baginda sentiasa mempermudahkan dalam beragama dan tidak terlalu memaksa di luar kemampuan mereka. Sabda Rasulullah SAW, "Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan." (HR Bukhari)

Daripada Aisyah RHA bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak diberi pilihan melainkan baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa, dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (HR Bukhari & Muslim) 

Tips 3: Sang Murabbi perlu prihatin dengan isu-isu yang menimpa mutarabbi. Kita perlu menyelami permasalahan mereka dan berusaha membantu sedaya mungkin. Jangan berikan tugasan yang terlalu berat dan di luar kemampuan mutarabbi, sebaliknya binalah kemampuan tersebut secara berperingkat. 

-------------------------------------------

"...dia sangat inginkan (keimanan dan keselamatan) terhadap kamu..."

Sungguh-sungguhnya Rasulullah SAW dalam berdakwah dan berjihad mengajarkan kepada kita betapa baginda terlalu menginginkan keselamatan bagi sekalian umat manusia. 

Baginda teramat sedih apabila bapa saudaranya sendiri, Abu Tolib meninggal dunia tanpa beriman. Rasulullah SAW berdoa tidak henti-henti agar diampunkan Abu Tolib, sehinggalah turunnya larangan dari Allah SWT. 

Ketika darah sedang mengalir keluar dari luka-luka akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif, malaikat turun dengan tawaran untuk menghimpitkan bukit-bukit ke atas orang-orang kafir itu. 

Namun baginda hanya berkata sambil berdoa: "Jangan! Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata, tidak disekutukan-Nya dengan apa pun."

Begitulah, bagi Rasulullah SAW keimanan dan keselamatan umat manusia adalah asas bagi dakwah dan perjuangannya.

Tips 4: Sang Murabbi perlu sungguh-sungguh mentarbiyah mutarabbi dengan penuh pengharapan untuk mengeluarkan mereka dari kelamnya jahiliyyah kepada terang-benderangnya cahaya Islam. Sentiasalah berdoa agar mutarabbi diberikan hidayah dan istiqamah di jalan-Nya. 

-------------------------------------------

"...dia amat sayang dan kasihan belas terhadap para Mukminin..."

Rasulullah SAW dalam dakwah baginda mengutamakan kasih sayang dan belas ehsan. Banyak hadis yang menggambarkan bagaimana sayangnya baginda kepada orang-orang beriman.

Sabda baginda, "Man la yarham, la yurham - Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi." (HR Muslim)

Baginda meringkaskan solat berjemaah apabila anak-anak menangis, supaya ibu yang sedang berjemaah sempat mengurus anaknya. Beliau tidak keluar untuk solat tarawih setiap malam, kerana takut-takut menjadi wajib kepada umat Islam.

Baginda sentiasa bersabar dengan karenah orang-orang Badawi yang agak kasar perilaku mereka. Penuh berhikmah memperbetulkan setiap kesalahan mereka secara begitu berhikmah.

Malah, di akhir-akhir kehidupannya, Rasulullah SAW menyebut-nyebut "Ummati, ummati, umaati!" Mengenangkan keadaan orang-orang beriman selepas ketiadaan baginda... Begitulah cinta seorang yang Rasul Agung! Rahmatan lil a'lamin...

Tips 5: Wujudkanlah cinta dalam hati kepada mutarabbi, dan hidupkanlah perasaan belas ehsan. Sabarlah dengan karenah mereka, seperti sabarnya seorang ibu dalam mendidik anak-anak. Tiada kepentingan yang diingini selain mutarabbi kita terus tsabat di jalan Allah.

-------------------------------------------

Begitulah sedikit tadabbur tentang ayat yang begitu 'power' ini. Sebuah teladan terbaik dari Sang Murabbi Terhebat kepada kita semua! Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. 

Wallahu a'lam. Selamat beramaal! ^^

Read more...

Pemberitahuan

Kandungan dalam blog ini terbuka untuk dikongsikan demi manfaat dakwah, cuma mohon disertakan bersama alamat blog.

Bagi tujuan komersial pula, hendaklah meminta izin daripada pengendali blog (azrah85@gmail.com).

  © Blogger template Shush by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP